by Oh! Semput
Fujifilm turut memperkenalkan Instax Square 2 untuk pasaran Malaysia. Model terbaharu dalam siri Instax Square ini hadir dengan reka bentuk yang diperbaharui bersama beberapa ciri baharu yang meningkatkan pengalaman pengguna.

Kamera ini dilengkapi lensa 66.75mm dengan bukaan f/12.6 yang menyokong tiga mod fokus iaitu Standard, Close-up dan Landscape. Ia turut menawarkan kelajuan pengatup antara 1/2 saat hingga 1/400 saat, di samping dilengkapi cermin swafoto terbina serta lampu flash Xenon yang mampu melaraskan pencahayaan secara automatik mengikut keadaan persekitaran.

Seperti model terdahulu, kamera ini masih menggunakan filem Instax Square yang menghasilkan imej bersaiz 62 x 62mm dengan nisbah aspek 1:1. Format segi empat sama ini sesuai untuk fotografi potret, landskap dan kegunaan harian. Fujifilm turut memperkenalkan ciri Mood Filter yang membolehkan pengguna memilih antara Cool Mode dan Warm Mode bagi menghasilkan tona warna berbeza tanpa perlu menyunting gambar terlebih dahulu.

Turut diperkenalkan ialah Instax Square Soft Haze iaitu filem baharu yang menawarkan warna dan kontras lebih lembut berbanding filem Instax standard. Bagi yang berminat, Fujifilm Instax Square 2 ditawarkan di Malaysia pada harga RM508.