by Oh! Semput
Dua premis perniagaan termasuk sebuah gerai makan mamak dan stor penyimpanan barang am terbakar dalam kejadian awal pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan Ampang, Ampang Jaya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.46 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang tiba di lokasi hanya tiga minit kemudian.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan dua premis yang dimiliki pemilik berbeza.
Menurutnya, kedua-dua premis mengalami kerosakan kira-kira 80 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran kira-kira 4.42 pagi, sebelum api dipadamkan sepenuhnya. Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bara atau bahagian yang masih berisiko terbakar semula.
Pemadaman dilakukan menggunakan enam aliran hos sepanjang 200 kaki dengan lima pancutan nozel, menggunakan bekalan air daripada pili bomba dan tangki air.
Operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Pandan Indah, BBP Keramat, BBP Hang Tuah serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bandar Mahkota Cheras.
Keseluruhan operasi melibatkan 18 anggota bersama beberapa jentera dari balai-balai berkenaan.
Selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat, operasi ditamatkan kira-kira 8.30 pagi.
Setakat maklumat awal, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih belum dinyatakan dan tertakluk kepada siasatan lanjut pihak berkuasa.
Gerai Makan Mamak Dan Stor Terbakar Di Ampang Jaya first appeared on #1 The News Malaysia.