by Oh! Semput
Serentak dengan pelancaran Google Pixel 11, Pixel 11 Pro dan Pixel 11 Pro XL, Google Pixel 11 Pro Fold turut dilancarkan dengan beberapa penambahbaikan kecil. Pertama sekali dari sudut rekaan ia tidak banyak berbeza dengan Pixel 10 Pro Fold tahun lalu. Perubahan paling besar ialah terdapat lampu HiLight di bahagian bonggol kamera peranti.

Google Pixel 11 Pro Fold dilengkapi skrin 6.5″ 120Hz di luar dan 8″ 120Hz di dalam. Skrin luar sedikit lebih besar berbanding 6.4″ pada model tahun lalu. Ini dilakukan menerusi penggunaan bezel yang lebih nipis. Tidak seperti Z Fold8, skrin luar 11 Pro Fold mempunyai bucu bulat.

Ini dipadankan dengan cip Tensor G6, memori 16GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri 4,806 mAh dengan pengecasan 30W. Sekali lagi bateri lebih kecil berbanding 5,015mAh. Bateri model baharu lebih kecil berbanding 5000 mAh yang digunakan Z Fold8 Ultra.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 48MP, ultra lebar 10.5MP dan telefoto 10.8MP dengan zum 5X. Sementara dua kamera swafoto adalah sebesar 10MP. Tubuh peranti melepasi piawaian IP68. Pengimbas cap jari masih terbina pada butang kuasa.
Peranti menggunakan sistem operasi Android 17. Sokongan perisian ialah 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti. Terdapat ciri Gemini Intelligence, Gemini Nano, Gemini Live dan Circle to Search. Tahun ini Google hanya memberikan langganan percuma Google AI Pro selama 6 bulan untuk setiap pembelian berbanding setahun pada model tahun lalu.

Di Malaysia, Pixel 11 Pro Fold ini ditawarkan pada harga bermula RM7999, dan telah boleh dipra-tempah melalui beberapa pengedar dan penjual tempatan.