Para Graduan Serta Generasi Muda Diingatkan Agar Tidak Bersikap Seperti ‘Kaduk Naik Junjung’ Apabila Diberi Ruang Dan Kebebasan

by Oh! Semput


6
SHARES
84
VIEWS
Posted on 22 Nov 2026 06:30:29

​KUALA LUMPUR: Para graduan serta generasi muda diingatkan agar tidak bersikap seperti ‘kaduk naik junjung’ apabila diberi ruang dan kebebasan, sehingga lupa asal usul serta meremehkan asas kenegaraan yang selama ini menaungi kehidupan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian dalam amanat terakhir baginda sebagai Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sejak menerajui jawatan itu pada 2004.

Baginda kemudian memaklumkan amanah berkenaan kini diteruskan oleh anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

​Dalam titah yang penuh bersemangat dan sarat dengan pesanan, baginda menegaskan kebebasan bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati, manakala keberanian pula bukan alasan untuk berlaku biadab.

​“Janganlah menjadi seperti kaduk naik junjung. Apabila diberi ruang dan kebebasan, semakin tinggi menjulang, semakin lupa akan akar kepompong,” titah baginda.

​Baginda turut mengingatkan agar nikmat keamanan dan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini tidak membuatkan mana-mana pihak menjadi terlalu angkuh sehingga sewenang-wenangnya melecehkan warisan sendiri, mempertikaikan institusi serta meremehkan asas kenegaraan.

Menurut baginda, kebijaksanaan tidak seharusnya diukur melalui kelantangan seseorang melawan arus atau mempertikaikan segala perkara tanpa asas ilmu dan fakta.

​“Tidak semua yang melawan arus itu betul. Tidak semua yang lantang bersuara itu benar. Dan tidak semua yang gemar mempertikaikan sesuatu itu bijak,” titah baginda lagi.

​Baginda menegaskan, perbezaan pandangan atau teguran yang membina tidak pernah ditolak, namun setiap kritikan perlu berfakta, teguran harus beradab dan perbezaan pendirian tidak wajar sampai menghilangkan pertimbangan.

​Mengimbas perjalanan UniKL sejak 2004, baginda bertitah, universiti itu bermula ketika masih ‘muda’ dengan hanya ada tujuh kampus dan 17 program pengajian, sebelum berkembang kepada 12 kampus serta 162 program pengajian yang memberi manfaat kepada 38,338 mahasiswa.

​Perkembangan itu turut menyaksikan jumlah graduan meningkat daripada 830 orang pada konvokesyen pertama 2004 kepada 8,174 graduan pada kali ini, sekali gus mencatat sejarah kelahiran graduan ke-100,000.

​Pada majlis sama, baginda turut menzahirkan rasa syukur dan rendah hati atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan daripada UniKL yang disifatkan amat dekat di hati kerana ikatan kasih dan sejarah panjang yang terjalin.

​Baginda juga menzahirkan keyakinan anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang, mampu menyambung legasi tersebut dengan kebijaksanaan dan wawasan untuk membawa UniKL ke puncak kecemerlangan lebih tinggi.

​“Biar kejayaan mengharumkan nama, biar budi menyentuhkan jiwa dan biar bakti menjadi warisan yang terus bernyawa,” titah baginda. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts