by Oh! Semput

JUARA, Nor Hamizi Jamaluddin pada Mimbar Pencetus Ummah 2016 Minggu Akhir di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. – Foto Adi Safri
BANGI: Pegawai Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang, Nor Hamizi Jamaluddin, 41, muncul juara pentas akhir program Mimbar Pencetus Ummah (PU) musim keempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini, malam ini.
Mempertaruhkan tajuk Aduhai Ummah, PU Nor Hamizi atau Mizi membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi, menewaskan tiga peserta lain.
Berduet dengan PU Zulkornain Md Rejab, 41, dalam segmen kedua dengan tajuk Andai Semalam Milikku, Nor Hamizi yang juga bekas anggota tentera, memperoleh markah 68.93 peratus.
Manakala, peserta duetnya, PU Zulkornain menempa tempat sebagai naib juara dengan markah 67.05 peratus dengan tazkirah bertajuk Madu Tiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.
PU Akram Ikrami Taib Azamudden, 27 dan PU Raihan Husni, 26 masing-masing meraih tempat ketiga dan keempat yang membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan RM10,000 berserta trofi.
Program yang berlangsung selama tujuh minggu itu dihoskan oleh PU Azman dan Faizal Ismail.
Manakala, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Farah Fauzana sebagai juri tetap.
Pentas akhir Mimbar Pencetus Ummah turut mengundang Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani sebagai juri jemputan.
Category: Hiburan