Hampir 8,000 Calon SPM Di Pahang Setiap Tahun Tidak Lanjut Pengajian, Kerajaan Perlu Beri Perhatian Pastikan Mereka Tidak Tercicir

by Oh! Semput


3
SHARES
38
VIEWS
Posted on 25 Nov 2026 13:30:24

KUANTAN: Hampir 8,000 daripada kira-kira 17,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang setiap tahun dianggarkan tidak melanjutkan pengajian, sekali gus memerlukan perhatian serius bagi memastikan golongan itu tidak tercicir daripada pembangunan modal insan negeri.

Dato’ Andansura Rabu (PN-Beserah) berkata, berdasarkan trend nasional, hampir 55 peratus pelajar yang menduduki SPM tidak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, daripada jumlah itu, sebahagian besar memasuki alam pekerjaan tanpa kemahiran khusus, sekali gus berdepan keterbatasan dari segi peluang kerjaya dan pendapatan.

“Kita perlu melihat mengapa mereka tidak berminat untuk meneruskan pengajian. Pihak pendidikan mungkin mempunyai jawapan terhadap perkara itu.

“Namun, persoalan lebih penting ialah bagaimana kita mahu mengesan mereka selepas tamat SPM kerana mereka sudah tidak berada dalam radar Kementerian Pendidikan atau mana-mana institusi pendidikan.

“Justeru, saya mencadangkan supaya satu kajian atau tindakan susulan dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan pendidikan bagi mengesan kedudukan anak-anak ini selepas tamat persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 serta Usul Pembangunan dan Bekalan Air 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan perlu mengenal pasti sama ada golongan berkenaan bekerja, menganggur atau tidak menyambung pengajian kerana mereka merupakan sumber tenaga manusia negara pada masa depan.

“Perkara ini perlu ditangani kerana mereka merupakan sumber tenaga manusia negara pada masa depan.

“Sekiranya kita gagal menguruskan golongan ini dengan baik, kita bimbang mereka akan terus berdepan masalah yang akhirnya turut memberikan kesan kepada masyarakat, negeri dan negara,” ujarnya.

Beliau turut mengaitkan perkembangan ekonomi gig dengan kecenderungan sebahagian anak muda memilih untuk bekerja berbanding menyambung pengajian kerana sektor itu menawarkan kebebasan dan peluang menjana pendapatan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri memperkenalkan Pahang Gig Economy Development Programme bagi membolehkan golongan terbabit meningkatkan kemahiran, membangunkan kerjaya secara profesional dan berpotensi menjadi usahawan.

Katanya, Beserah boleh dijadikan kawasan perintis program berkenaan dengan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan hospitaliti.

“Ekonomi gig bukan hanya melibatkan e-hailing dan p-hailing, malah merangkumi pelbagai bentuk pekerjaan bebas seperti freelancer, pencipta kandungan dan pemasar digital.

“Golongan yang bekerja secara bebas ini memerlukan satu platform untuk mengembangkan perniagaan dan usaha masing-masing.

“Sebagai contoh, di Beserah, kerajaan boleh membangunkan program gig ekonomi berkaitan pelancongan dan hospitaliti dengan menyediakan platform kepada mereka yang terlibat dalam sektor tersebut untuk meningkatkan kemahiran serta kualiti perkhidmatan.

“Melalui pendekatan itu, mereka berpeluang menjana pendapatan secara berterusan,” katanya. #Harakahdaily

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts