Himpunan Huffaz: Kerajaan Negeri Pahang Sentiasa Komited Perkasakan Ekosistem Pendidikan Tahfiz Selaras Dengan Gagasan Aspirasi Pahang 1st

by Oh! Semput


2
SHARES
22
VIEWS
Posted on 19 Jun 2026 16:32:08

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk memperkasa pendidikan Islam selaras dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st, dengan menjadikan pembangunan modal insan berteraskan al-Quran sebagai antara keutamaan utama negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Wan Rosdy bersyukur tercipta satu lagi detik bersejarah di bumi Pahang apabila Himpunan Huffaz Negeri Pahang Tahun 2026 berjaya menghimpunkan lebih 5,000 huffaz dari seluruh negeri di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan, malam tadi.

“Alhamdulillah, Pahang kini memiliki ekosistem pendidikan tahfiz yang lengkap dan tersusun, bermula daripada Tadika Tahfiz Negeri Pahang, Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang sehinggalah tertubuhnya Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS), universiti al-Quran pertama di Malaysia yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat negeri ini,” ujarnya lagi.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yayasan Pahang serta seluruh jabatan, agensi dan pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan penganjuran himpunan bersejarah ini.

“Semoga segala usaha memartabatkan al-Quran serta melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berwibawa terus mendapat keberkatan Allah SWT demi agama, bangsa, negeri dan negara,” katanya.

Begitu juga Wan Rosdy merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kesudian hadir serta merasmikan himpunan yang penuh bermakna ini.

“Terima kasih juga atas sumbangan 5,000 naskhah al-Quran bernilai RM450,000 yang pastinya akan memberi manfaat besar dalam usaha memperkukuh penghayatan dan pendidikan al-Quran khususnya generasi muda,” katanya. #umnoonline 

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts