by Oh! Semput
Semakan kami mendapati Honor telah mula menyenaraikan fon kepala terbaharunya di Malaysia secara senyap. Produk ini dikenali sebagai Honor Choice Headphones Max Black dan dipercayai kali pertama jenama tersebut menawarkan fon kepala untuk pasaran tempatan.

Fon kepala ini hadir dengan pad telinga condong serta span lembut yang boleh menyesuaikan bentuk telinga untuk memberikan keselesaan jangka panjang. Bahagian angkup telinga direka menggunakan bingkai logam nipis yang kukuh. Lapisan luar pula diperbuat daripada kulit sintetik yang tahan sinaran UV dan perubahan warna. Reka bentuk ini membolehkan fon kepala dilipat dengan mudah, dan turut disertakan dengan bekas simpanan untuk memudahkan pengguna membawanya ke mana sahaja.

Antara ciri utama fon kepala ini ialah pembatalan hingar 57dB yang mampu menapis bunyi luar dengan berkesan. Ia turut menyokong audio spatial 360 darjah bersama fungsi penjejakan kepala untuk menghasilkan pengalaman bunyi yang lebih imersif. Selain itu, fon kepala ini menerima pensijilan Hi‑Res Lossless bagi memastikan kualiti audio kekal jelas sama ada digunakan secara berwayar atau nirwayar.

Fon kepala ini turut menawarkan tetapan EQ seperti Default, Bass Boost dan Treble Boost untuk menyesuaikan bunyi mengikut cita rasa pengguna. Dari segi bateri, ia mampu bertahan sehingga 70 jam. Ia juga menyokong pengecasan pantas selama 10 minit yang memberikan sehingga 8 jam penggunaan. Di Malaysia, dijual pada harga RM349 dalam warna hitam, lengkap dengan penghantaran percuma serta sokongan VIP.