by Oh! Semput
Berbaki dua minggu sebelum pelancaran rasmi, spesifikasi kamera Honor Robot Phone semakin terperinci. Peranti ini akan hadir dengan sistem tiga lensa, digabungkan bersama teknologi gimbal bersaiz kecil yang berfungsi mengurangkan gegaran dan memastikan rakaman video kekal stabil.

Pada masa yang sama, cip pemproses imej buatan sendiri turut disertakan bagi meningkatkan prestasi rakaman. Kehadiran cip ini menjadikan sistem kamera lebih kukuh sekali gus mampu menawarkan pengalaman pengimejan yang setara dengan standard profesional.


Kamera utama hadir dengan sensor 200MP (1/1.28 inci) bersama apertur f/1.6, dipasang pada gimbal tiga paksi kecil. Ia turut disokong oleh lensa ultra-lebar 50MP serta periskop telefoto 200MP. Honor turut memperkenalkan cip imej baharu dinamakan Yuguang H1 ISP yang digabungkan dengan motor gimbal seberat 2.6 gram. Motor ini 65% lebih kecil namun mampu menghasilkan 35% lebih kuasa putaran berbanding motor gimbal konvensional.

Honor turut bekerjasama dengan pembuat peralatan perfileman dari Jerman, ARRI bagi membawa teknologi filem ke telefon pintar. Sokongan yang diberikan merangkumi Log-C video encoding, fail LUT untuk pembetulan warna, serta kawalan manual bagi fokus, imbangan putih dan pencahayaan. Data pergerakan kamera juga boleh dipindahkan bagi menyokong aliran kerja filem profesional.

Honor menegaskan bahawa teknologi kamera baharu ini bukan hanya eksklusif untuk Robot Phone, sebaliknya turut akan digunakan dalam siri Magic 9 yang akan datang. Lebih menarik, Honor dan ARRI merancang untuk membuka sebuah makmal bersama khusus bagi penyelidikan dan pembangunan teknologi kamera mudah alih masa depan.