by Oh! Semput
Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui berlaku kekhilafan ketika mengulangi sebahagian ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dikaitkan dengan penggunaan perkataan “balik”.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menegaskan perkara itu tidak mengubah asas laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Pas berkenaan pada Jumaat lalu berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.
Menurut Dr Sathia, inti pati laporan polis tersebut tertumpu kepada kenyataan Muhammad Sanusi yang menyebut masyarakat India mempunyai India, masyarakat Cina mempunyai China, manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.
Beliau berkata, kenyataan sedemikian wajar disiasat kerana berpotensi mewujudkan persepsi bahawa kaum lain merupakan ancaman terhadap hak serta masa depan orang Melayu.

Dr Sathia berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara adil dan profesional mengikut lunas undang-undang, termasuk menentukan sama ada ucapannya sendiri melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
Dalam perkembangan sama, beliau turut berpandangan penggunaan istilah “barua Melayu” serta perbandingan dengan watak “Buang” dalam filem *Sarjan Hassan*, yang sinonim dengan pengkhianatan, telah melampaui batas kritikan politik.
Menurutnya, kenyataan sedemikian membawa konotasi bahawa individu yang berbeza pandangan dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa.
Beliau turut menegaskan kenyataan Muhammad Sanusi itu bukan sahaja berpotensi membangkitkan kebencian dan mengukuhkan prejudis, malah boleh mengeraskan sentimen perkauman serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Artikel lain: Sanusi akan buat laporan polis, dakwa kenyataan diputar belit -“Saya sebut benda fakta saja”
Sebelum ini, Dr Sathia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berhubung ucapannya dalam ceramah di Jempol yang mengaitkan Muhammad Sanusi dengan kenyataan bahawa masyarakat Cina dan India perlu “balik” ke negara asal mereka.
Terdahulu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Dr Sathia telah memanipulasi ucapan Muhammad Sanusi serta menuntut beliau menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kedah berkenaan.
Susulan kontroversi tersebut, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Dr Sathia pada Ahad.
: Sinar Harian (Khairiln Anwar Mohd Amin)