by Oh! Semput
TRADISI kerajaan berparlimen di Malaysia menyaksikan hanya orang Melayu dan beragama Islam yang dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Ini berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan dan sehingga kini di bawah era pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Adakah tradisi itu perlu dihormati? Sudah tentu ianya perlu dihormati tanpa dipersoalkan sama sekali.
Tidak dinafikan, Perlembagaan Malaysia dengan terang mengatakan bahawa tiada peruntukan menyebut hanya orang Melayu yang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi kaum-kaum lain juga turut berpeluang dilantik jika mendapat undian yang cukup dari anggota parti yang membentuk kerajaan.
Namun, perlu difahami bahawa masyarakat Malaysia berbilang kaum dan majoritinya adalah Melayu.
Justeru, adalah wajar jika ketua eksekutif atau kerajaan dilantik dalam kalangan Melayu yang merupakan majoriti rakyatnya.
Jika dilihat pada komposisi kaum di negara ini, pada 2016, jumlah penduduk adalah 30.9 juta yang merangkumi 92.7 peratus warganegara dan 7.3 peratus bukan warganegara.
Sebanyak 55.8 peratus merupakan kaum bumiputera, yang mana 90.9 peratus terdiri daripada Bumiputera Melayu sementara 9 peratus dari lain-lain Bumiputera seperti Orang Asli, Siam, Serani dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Kira kira 27 peratus ialah kaum Cina, 9 peratus kaum India dan 0.9 peratus terdiri daripada lain-lain kaum.
Sebelum, selepas merdeka dan sehingga kini, Melayu adalah majoriti dan adalah sewajarnya kaum Melayu diberikan hak mengetuai negara ini.
Bagaimanapun, kini hangat diperkatakan mengenai jawatan TPM selepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan minatnya untuk jawatan itu.
Perlu diingat, pemilihan PM dan TPM merupakan satu tradisi politik dan bukan peruntukan undang-undang kerana Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bangsa, agama atau keturunan sebagai suatu ketetapan kepada pemimpin politik untuk dilantik sebagai PM atau TPM.
Siapakah yang mempunyak hak untuk melantik TPM?
Pemilihan para menteri termasuk TPM menjadi hak eksklusif PM.
Jawatan TPM sama seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam perkhidmatan awam yang merupakan jawatan ciptaan pentadbiran kerana tiada diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Kenapa penting tradisi orang Melayu menjawat jawatan TPM perlu diteruskan?
Ini kerana, walaupun jawatan TPM bukan satu ketetapan untuk orang Melayu, tetapi tradisi itulah yang selama ini menjadikan Malaysia harmoni dan rakyat pelbagai kaum hidup aman damai.
Tradisi yang baik apabila dirombak kerana memenuhi agenda peribadi kebiasaannya hanya akan mendatangkan kesan tidak baik dan tidak boleh diterima umum.
Ini bukan soal perkauman, tetapi perlu dibimbangi kerana tingkah laku pemimpin DAP sebelum ini banyak melukai hati umat Islam di negara ini.
Sebelum ini pemimpin DAP pernah mempertikaikan kedudukan orang Melayu, bahasa kebangsaaan dan Islam sebagai agama rasmi.
Pemimpin DAP pernah mempersoalkan laungan azan di masjid dan banyak lagi tindakan mereka yang mengguris hati umat Islam di negara ini.
Sekarang DAP tuntut kerusi TPM, adakah DAP mampu untuk berlaku adil kepada semua kaum terutama Melayu?
Jadi, biarlah tradisi itu dikekalkan dan dihormati. Jangan dipolemikkan demi agenda peribadi DAP dan Kit Siang.
Untuk DAP, usah berlegar dan bersembunyi di sebalik isu rapuh selain mengelirukan rakyat dengan janji serta propaganda palsu seandainya Kit Siang menjadi timbalan perdana menteri.
Sudah terang lagi bersuluh, DAP hanya mahu melihat keharmonian yang dibina sejak dahulu lenyap dalam sekelip mata.