Insiden Tujuh Pemancing Hilang, Mayat Mangsa Terakhir Ditemukan

by Oh! Semput


4
SHARES
51
VIEWS
Posted on 30 Sep 2026 11:30:39

Penemuan mayat seorang lelaki di perairan Kuala Kurau, Perak, semalam melengkapkan operasi mencari dan menyelamat tujuh pemancing yang hilang selepas bot mereka karam di perairan One Fathom Bank, berhampiran Pulau Ketam, pada 14 September lalu.

Mayat mangsa terakhir itu ditemukan seorang nelayan tempatan kira-kira jam 5.25 petang, terapung sekitar 4.5 batu nautika barat daya Muara Kuala Kurau. Mangsa ditemukan lengkap berpakaian dengan baju berwarna biru dan seluar celoreng.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, nelayan berkenaan segera menghubungi Zon Maritim Kuala Kurau selepas menemukan mayat tersebut.

Susulan maklumat itu, Bot Maritim BENTENG 03 digerakkan ke lokasi sebelum membawa mayat ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau kira-kira jam 7.30 malam. Mayat kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping bagi proses pengecaman rasmi. Identiti mangsa kemudiannya disahkan sebagai Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49, selepas isterinya mengesahkan pakaian yang dipakai lelaki berkenaan ketika kejadian.

Dalam insiden asal, tujuh pemancing dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan One Fathom Bank. Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan oleh Maritim Malaysia Selangor dengan bantuan pelbagai agensi serta komuniti nelayan.

Daripada tujuh individu terbabit, empat mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat. Dua lagi, Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, ditemukan meninggal dunia di perairan Perak ketika operasi pencarian masih dijalankan.

Penemuan Raja Mohd Rozi menjadikan kesemua tujuh mangsa kini telah ditemukan, dengan empat terselamat manakala tiga disahkan meninggal dunia.

Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat serta komuniti nelayan yang membantu menyalurkan maklumat sepanjang operasi berkenaan.

Penemuan mangsa terakhir itu sekali gus menutup usaha pencarian selepas insiden bot karam tersebut mencetuskan operasi SAR melibatkan kawasan perairan Selangor dan Perak.

Insiden Tujuh Pemancing Hilang, Mayat Mangsa Terakhir Ditemukan first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts