by Oh! Semput
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Pengorbanan seorang guru terpaksa berulang-alik setiap hari sejauh 135km menggunakan motosikal melalui jalan berbukit demi tugas mendidik anak-anak Orang Asli di SK Lenjang di Lipis, Pahang, mendapat penghargaan daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Mohd Jamalludin Kasbi.
“Saya amat tersentuh dan bagi pihak Jakoa ingin merakamkan terima kasih bukan sahaja kepada guru, Ahmad Saidin Mohd Idris, tetapi juga kepada semua guru yang melaksanakan tugas mereka dengan baik dalam mendidik pelajar Orang Asli,” katanya.
Kisah dedikasi Ahmad Saidin itu yang disiarkan sebuah akhbar tempatan, menjadi tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi.
Mohd Jamalludin berkata sebanyak RM15 juta diperuntukkan bagi membina jalan baharu sejauh 30 kilometer dari Pos Betau ke Pos Lenjang.
“Pembinaan jalan itu akan dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia di bawah program Jiwa Murni pada Julai ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
“Kami menghargai dan mengalu-alukan cadangan untuk menaik taraf jalan ini kerana ia bukan sahaja bakal memberi manfaat kepada guru-guru di SK Lenjang, tetapi juga kepada guru yang mengajar di SK Titom,” katanya.
Mohd Jamalludin berkata jalan sedia ada menghubungkan Pos Betau dan Pos Lenjang juga digunakan oleh kenderaan yang terlibat dalam aktiviti pembalakan.
Beliau berkata setiap tahun Jakoa memperuntukkan lebih RM30 juta bagi meningkatkan pendidikan anak-anak Orang Asli , namun pada masa yang sama pihaknya masih mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan untuk kesejahteraan masyarakat berkenaan. — Bernama