by Oh! Semput
Suasana jalan raya di sekitar daerah Bangka, Jakarta Selatan, Indonesia pada dinihari itu agak sesak. Biarpun jarum jam baru sahaja menunjukkan pukul 7 pagi, deruman enjin kereta dan motosikal yang bergerak perlahan di sepanjang laluan tersebut sudah cukup untuk menyegarkan mata mereka yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Sesekali, kedengaran hon dibunyikan, tanda amaran untuk si pejalan kaki atau pemandu-pemandu lain yang cuba untuk memotong tanpa memberikan peringatan. Situasi macet (kesesakan lalu lintas) pada waktu puncak barangkali sudah cukup lali buat seluruh warga Jakarta, khususnya yang memulakan rutin harian mereka seawal pagi untuk mencari sesuap nasi. Namun, bagi Ayda Jebat, situasi tersebut merupakan proses pembelajaran baharu baginya yang pada ketika itu sedang mengikuti rangka promosi bagi single Pencuri Hati versi dangdut yang berlangsung selama lima hari di republik tersebut.
Bermula dengan temu bual di Bandung Radio, Bandung pada 31 Januari lalu, Ayda seterusnya diundang untuk memenuhi beberapa lagi sesi wawancara bagi 12 stesen radio di sana.
“Alhamdulillah, sesi wawancara bersama stesen radio di Jakarta berjalan dengan lancar.
“Biarpun agak penat tetapi saya berasa sangat puas hati dengan sambutan yang diberikan,” ujar pemilik nama lengkap Nur Suhada Jebat itu membuka bicara.
Sepanjang menjalani rutin promosi di Jakarta, banyak perkara baharu yang dipelajarinya tentang audiens di sana.
Menurut Ayda, pendengar radio di Jakarta tidak memilih bulu, malah mereka menyambut baik kehadirannya walaupun baru pertama kali singgah di negara tersebut.
“Saya cukup tertarik dengan reaksi pendengar radio di sana. Biarpun tidak dikenali, ramai yang membuat panggilan untuk bercakap dan bertanyakan soalan kepada saya.
“Ada juga yang membuat panggilan semata-mata mahu bertanyakan akaun Instagram saya. Sejujurnya, saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sangat positif,” katanya.
Mengimbau kembali momen manis sepanjang menghadiri sesi wawancara, Ayda berkata, ada pendengar yang sanggup datang ke stesen radio semata-mata mahu bergambar dengannya.
“Tidak sampai beberapa minit selepas saya selesai ditemu ramah, beberapa warga tempatan di sana datang ke konti untuk bergambar.
“Pada mulanya, saya agak terkejut tetapi pada pendapat saya, mungkin mereka telah terbiasa dengan budaya untuk sentiasa memberikan sokongan kepada setiap anak seni yang ingin berkarya,” katanya sambil tersenyum.
Selain stesen radio, pelakon yang bakal muncul dengan filem perdananya, Pinjamkan Hatiku itu turut diundang untuk diwawancara oleh program Ini Talk Show dan portal hiburan KapanLagi.com.
Tuah Pencuri Hati
Melihat rekod gemilang yang dipegang oleh Pencuri Hati, tiada siapa yang dapat menyangkal pemilihan single tersebut lagu pertama yang dipromosikan di Indonesia.
Dinobatkan sebagai Lagu Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2016, karya ciptaan Kevin Chin tersebut memberikan tuah luar biasa terhadap momentum kerjaya seni suara Ayda.
Terbaharu, dramatis yang mula melakar populariti menerusi drama bersiri Rindu Awak 200% itu mampu tersenyum bangga apabila lagu Pencuri Hati digunakan sebagai lagu runut bunyi untuk tiga telefilem di Indonesia iaitu Rebutan Cinta Sekretaris Metal, ’s Go Kita Married dan Tanjidor Love Story.
Pada masa yang sama, lagu tersebut juga telah ditonton lebih 15 juta kali di YouTube, menjadikan Pencuri Hati sebagai single paling berjaya Ayda Jebat paling berjaya.
Menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan, Ayda berkata, komposisi lagu tersebut yang sangat menarik dan santai menyebabkan ia mudah diterima oleh khalayak.
“Saya sendiri tidak sangka lagu Pencuri Hati digunakan untuk tiga telefilem di Indonesia.
“Justeru, ia menjadikan saya lebih positif untuk menghasilkan karya-karya berkualiti pada masa akan datang,” katanya yang bakal hadir dengan beberapa single baharu dan juga album penuh pada tahun ini.
Berkongsi lanjut mengenai perkembangan terbaharu, Ayda bakal menjalani penggambaran bagi sebuah drama bersiri bermula Februari ini.
Berjudul Ku Kirimkan Cinta, drama yang turut menampilkan pelakon Redza Rosli itu dijadualkan menemui penonton sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
“Jalan cerita drama tersebut cukup menarik dan saya harap ia dapat diterima ramai kelak,” katanya lagi.
Cinta hati
Keakraban hubungan Ayda Jebat dan peminatnya di Malaysia bukanlah satu cerita baharu untuk dibualkan. Malah, ia terbukti menerusi sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang Ayda melakar nama sebagai seorang anak seni.
Namun, perkara tersebut dilihat luar biasa bagi pengamal media di Indonesia. Rata-rata daripada mereka begitu hairan mengapakah Ayda kerap melayan peminat biarpun dalam keadaan penat tanpa mengira waktu dan ketika.
“Mereka bukan setakat peminat tetapi lebih daripada itu. Mereka adalah cinta hati saya.
“Apalah sangat sedikit masa yang diluangkan untuk beramah mesra jika dibandingkan dengan kesungguhan mereka menyokong kerjaya seni saya.
“Disebabkan itu, saya tetap akan cuba melayan peminat kerana saya benar-benar menghargai mereka,” katanya menutup bicara.