by Oh! Semput
MENDOMINASI senarai pencalonan Anugerah Melodi 2016 (AM2016) membuktikan penyanyi bertubuh kecil molek, Ayda Jebat sebagai penyanyi kesayangan Malaysia. Ia berikutan acara tersebut adalah berdasarkan 100 peratus undian peminat.
Majlis yang berlangsung penuh meriah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tersebut turut menyaksikan kemenangan besar buat penyanyi berusia 24 tahun itu dengan membawa pulang tiga trofi Personaliti Muzik dan Personaliti Media Sosial termasuk anugerah utama iaitu Personaliti Sensasi Melodi 2016.
Melakar sejarah manis buat Ayda, pastinya 2016 merupakan tahun bertuah buat pelantun lagu Bawaku Berkelana itu terus melakar nama dalam lapangan industri hiburan tempatan.
Biarpun kemenangan tersebut diiringi dengan usaha keras bergelar penyanyi dan pelakon, dia tidak menolak kejayaan yang dikecapi disebabkan sokongan padu peminat kepada dirinya.
Bagi Ayda, mencipta satu kejayaan bukan suatu perkara sukar tetapi untuk mengekalkan magis pada masa akan datang merupakan suatu cabaran kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku sekiranya tersilap langkah.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah yang diterima ini. Ia secara tidak langsung akan menjadi suatu tanggungjawab untuk lebih berusaha keras pada masa akan datang.
“Jutaan terima kasih ingin diucapkan kepada peminat kerana sanggup bersusah payah demi memastikan kemenangan berpihak kepada saya,” ujarnya saraya melemparkan senyuman saat lensa kamera tidak henti-henti merakam gambarnya.
Membawa pulang setiap anugerah yang dicalonkan, Ayda mengharapkan kejayaan tersebut tidak menyebabkan dirinya menjadi sasaran kecaman peminat.
“Kemenangan saya ini adalah berdasarkan kerja keras kelab peminat (AJ Screamer) dan diharapkan ia tidak akan menimbulkan rasa kurang senang pihak lain,” jelas pelakon drama rantaian Awak Sangat Nakal itu.
Cabaran
Tampak jelita menggayakan busana berona merah jambu muda dengan perincian manik dan kain labuh pada bahagian belakang menjadikan penampilan Ayda tidak ubah seperti seorang puteri.
Meneruskan bicara tentang kemenangannya, Ayda memberitahu, kegembiraan yang dikecapi merupakan cabaran baharu bagi memastikan dirinya kekal berada pada kedudukan teratas dalam carta artis popular tanah air tahun depan.
“Kemenangan ini membuatkan saya lebih memberi perhatian kepada peminat terutama di laman media sosial biarpun berdepan kepadatan jadual kerja.
“Kadang kala saya akan cuba membalas setiap komen peminat walaupun sedang berada di dalam tandas,” seloroh Ayda sambil melepaskan ketawa kecil.
Tidak hanya menghargai peminat, dia turut menyifatkan hubungan baik dengan media menjadi antara penyumbang utama membantu menyebarkan aktiviti seninya kepada umum.
Mencatat pelbagai pencapaian pada tahun ini, secara tidak langsung membuka ruang buat Ayda menjadi lebih selektif dalam menentukan hala tuju kerjayanya.
“Demi memastikan kerjaya berjalan lancar, saya mengaku agak memilih sejak dahulu sehingga sekarang kerana ia penting agar keputusan dibuat tidak tersasar.
“Selektif juga bertujuan untuk mengekalkan kualiti tidak hanya pada bidang nyanyian tetapi ia juga melibatkan bidang lakonan dan duta produk,” tuturnya optimis dalam membuat keputusan melibatkan kerjayanya.
Anugerah
Selain Ayda, beberapa selebriti popular lain turut mencatat sejarah pada anugerah tersebut iaitu Nazim Othman yang merangkul trofi Personaliti Fesyen, manakala Personaliti Filem dimenangi oleh Zizan Razak.
Sementara itu, anugerah kategori Personaliti Sukan dibawa pulang oleh Datuk Lee Chong Wei, manakala Pasangan Sensasi dinobatkan kepada Akim dan Stacy.
Berjaya mengumpul lebih puluhan selebriti popular tanah air, AM2016 turut mencatat kenangan terindah buat pelakon yang dikatakan sedang asyik diulit ‘asmara’ dengan Neelofa, Fattah Amin.
Teraju utama drama rantaian Playboy Itu Suami Aku ternyata tidak menduga memenangi anugerah Personaliti Drama, sekali gus menewaskan empat saingan lain iaitu Saharul Ridwan, Mira Filzah, Janna Nick dan Amyra Rosli.
Dalam pada itu, pelakon dan pengacara yang didakwa merupakan pemilik belahan hati Fattah, si cantik Neelofa pula memenangi anugerah Personaliti Pengacaraan.
Selain penganugerahan buat artis tempatan, dua anugerah khas iaitu Personaliti Drama Korea Paling Diminati dimenangi Park Bo-gum, manakala anugerah Personaliti Luar Negara dirangkul oleh Afgan.
Menyaksikan sebanyak 10 persembahan penghibur popular tanah air yang telah memukau penonton antaranya gandingan Candy bersama Amy Search, Francissca Peter dan Misha Omar, Afgan, Zamani serta Mus May, Saleem dan Sahara Yaacob.
Selebriti lain yang turut membuat persembahan pada malam tersebut ialah Projektor Band, Hazama, Azlan, Black, Tomok, Sufian Suhaimi, Harris Baba, Aiman Tino, Marcell dan Rizki Ferbian.
Baca lagi: APM 2016: Ayda Jebat Rangkul 3 Trofi