by Oh! Semput
Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini tidak akan dibatalkan walaupun negara kini berdepan keadaan jerebu. Bagaimanapun, kerajaan sedang menilai kemungkinan mengubah lokasi atau skala penganjuran bagi memastikan keselamatan serta kesihatan peserta dan orang ramai terus terpelihara.
Jurucakap Kerajaan MADANI yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan berhubung perkara itu akan dibuat selepas penilaian terhadap keadaan cuaca dan jerebu untuk beberapa hari akan datang.
Menurut beliau, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mengadakan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Perbincangan itu akan menentukan sama ada sambutan utama kekal di Dataran Putrajaya, dipindahkan ke lokasi lain atau dilaksanakan dalam skala yang lebih kecil.
Fahmi berkata, aspek kesihatan diberi perhatian khusus kerana sambutan tahun ini turut membabitkan kira-kira 1,500 pelajar sekolah menengah dari tiga negeri yang dijadualkan menyertai persembahan human graphic.
Pada masa sama, kerajaan turut mengambil kira keadaan orang ramai yang dijangka hadir menyaksikan sambutan secara langsung, terutama sekiranya bacaan pencemaran udara kekal pada tahap tidak sihat.
Program Ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos di Dataran Merdeka juga akan diteliti berdasarkan perkembangan keadaan jerebu dan ramalan cuaca semasa.
Kerajaan kini menunggu hasil penilaian serta perbincangan antara kementerian sebelum menentukan bentuk penganjuran yang paling sesuai.
Walaupun lokasi atau skala berkemungkinan berubah, kerajaan menegaskan bahawa sambutan Hari Kebangsaan tidak dibatalkan. Sebarang keputusan lanjut akan mengambil kira keadaan kualiti udara dan nasihat kesihatan bagi memastikan sambutan berlangsung dalam keadaan selamat.
Jerebu: Sambutan Hari Kebangsaan Tidak Dibatalkan, Skala Atau Lokasi Mungkin Diubah – Fahmi first appeared on #1 The News Malaysia.