by Oh! Semput
Pemuda UMNO Johor menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 membuktikan pengundi muda memilih kestabilan dan kemajuan, selain menolak politik kebencian sepanjang tempoh berkempen.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, golongan muda di negeri itu menunjukkan kematangan apabila tidak mudah terpengaruh dengan dakyah serta sentimen yang dimainkan pihak luar.

“Hakikatnya, anak-anak muda Johor tidak terpengaruh dengan semua itu. Mereka tidak goyah. Mereka tidak terperangkap dengan sentimen, politik kebencian, adu domba dan perpecahan.
“Sebaliknya, mereka dengan penuh keyakinan memilih kestabilan, kemajuan dan masa depan yang mereka percaya mampu membawa Johor terus maju.
“Sebab itu, saya secara peribadi ingin merakamkan rasa hormat dan penghargaan kepada anak-anak muda Johor. Tahniah kerana berani menghantar mesej yang begitu jelas melalui peti undi semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Johor bukan tempat untuk menyemai kebencian dan rakyat negeri itu memilih pendekatan membina berbanding memecah-belahkan masyarakat.
“Di Johor, kita memilih untuk membina, bukan memecah-belahkan. Inilah cara Johor. Tahniah, anak-anak muda Johor.
“Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor yang menunaikan tanggungjawab demokrasi dengan keluar mengundi. Undian anda mencerminkan komitmen terhadap masa depan negeri yang kita cintai,” katanya.

Noor Azleen turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera, petugas, sukarelawan dan penyokong Barisan Nasional (BN) yang bekerja keras sepanjang kempen.
Menurut beliau, BN memberi tumpuan kepada isu berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan, pemilikan rumah, gaji, keusahawanan serta masa depan anak muda, tanpa menggunakan kempen untuk mencaci atau menyemai kebencian.
“Setiap kali bertemu yang kami bawa hanyalah keyakinan tentang harapan dan masa depan yang lebih jelas buat mereka.
“Kami berbicara tentang peluang pekerjaan, pendidikan, impian memiliki rumah sendiri, gaji yang bermaruah, cabaran membesarkan anak-anak bagi ibu bapa muda, pembangunan negeri yang seimbang dan menyeluruh, sukan, peluang keusahawanan serta ruang untuk terus meningkatkan kemahiran.
“Termasuk juga masa depan mereka yang sedang dan bakal melanjutkan pengajian ke universiti serta institusi-institusi pendidikan yang lain,” katanya lagi.


Beliau berkata, pihaknya hairan apabila terdapat pihak yang didakwa menggunakan pentas ceramah untuk melemparkan tohmahan dan menyemai kebencian sepanjang kempen PRN Johor.

Dalam PRN Johor yang berakhir semalam, BN memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi.