by Oh! Semput
Sebelum ini kami telah menulis pelbagai laporan yang mengatakan bahawa isu bekalan memori akan terus membelenggu pelbagai industri pada skala global sehingga tahun 2028 ke tahun 2030 kelak. Laporan Digitimes baru-baru ini sedikit sebanyak mengesahkan kerisauan ramai, yang mana ia mengatakan bahawa kapasiti pengeluaran komponen DRAM untuk tahun 2027 sudahpun habis dibeli.
Tiga syarikat pengeluar komponen memori DRAM terbesar di dunia, SK Hynix, Samsung dan Micron dilaporkan sudahpun habis menyusun kapasiti pengeluaran komponen-komponen DRAM dan HBM untuk tahun 2027, dan tiada lagi syarikat-syarikat tambahan boleh membelinya lagi.
Laporan tersebut mengatakan bahawa secara lazimnya, bulan Julai dan Ogos merupakan bulan-bulan dimana syarikat-syarikat akan memperbaharui komitmen dan perjanjian untuk membeli kapasiti pengeluaran komponen tersebut. Akan tetapi, mereka yang tidak membuat perjanjian untuk membeli kapasiti bertahun-tahun nampaknya tidak berjaya mendapatkan komponen-komponen tersebut untuk menghasilkan produk-produk mereka.

Malah, perkara ini dikatakan sudahpun diketahui untuk berbulan-bulan sebelum ini oleh syarikat-syarikat tertentu, tetapi tidak mengatakan apa-apa supaya mereka boleh mengekalkan bekalan komponen memori mereka sendiri.
Mengeruhkan keadaan lagi, syarikat-syarikat pengeluar komponen memori juga dilaporkan hanya boleh mengisi 70 peratus permintaan global, dan sejumlah besar kapasiti pengeluaran ini dipenuhi untuk industri AI dan pusat data. Ini akan menyebabkan jumlah komponen memori akan berkurangan secara mendadak untuk industri peranti dan perkomputeran pengguna pada tahun hadapan.
Bekalan komponen NAND untuk storan SSD juga dilaporkan semakin berkurangan, dengan syarikat-syarikat Samsung, SanDisk dan Micron mengumumkan bahawa kapasiti pengeluaran untuk tahun hadapan juga sudah habis diagihkan. Walaupun begitu, terdapat sejumlah lagi syarikat pengeluar komponen tersebut masih belum mengesahkan jumlah kapasiti mereka, jadi syarikat-syarikat masih boleh mendapatkan komponen tersebut buat masa ini.