Isu Kebanjiran Warga Asing Di Janda Baik Harus Dijadikan Iktibar Betapa Pentingnya Tindakan Bersepadu Antara Agensi Dan Masyarakat

by Oh! Semput


5
SHARES
68
VIEWS
Posted on 23 Oct 2026 13:30:40

Operasi bersepadu Imigresen menggempur 19 lokasi sekitar Janda Baik, Bentong, kelmarin, iaitu 10 hari selepas pendedahan  mengenai kehadiran warga asing semakin berleluasa di kawasan pelancongan itu, menunjukkan bagaimana media dan pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab masing-masing dapat menangani isu meresahkan masyarakat setempat dan menjejaskan keselamatan. 

Tindakan pantas itu wajar dipuji, apatah lagi isu terbabit bukan sekadar membabitkan pelanggaran peraturan imigresen, malah kegiatan ekonomi, penggunaan tanah dan kelestarian alam sekitar.

Dalam operasi membabitkan 150 pegawai dan anggota penguat kuasa itu, seramai 278 warga asing diperiksa dengan 65 ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki pas sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan permit. 

Lebih membimbangkan, siasatan awal mendapati ada antara mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan lebih empat tahun tanpa pas.

Realitinya, pendedahan mengenai Janda Baik memperlihatkan bagaimana kehadiran warga asing berkembang daripada memenuhi keperluan tenaga kerja sektor pelancongan kepada mengusahakan pertanian, perniagaan dan perkhidmatan. 

Malah, dakwaan seorang warga Indonesia sudah puluhan tahun mengusahakan tanah dianggap miliknya sendiri menimbulkan persoalan mengenai pemilikan, penyewaan dan pematuhan undang-undang tanah.

Kita menyambut baik tindakan Imigresen menjalankan risikan selama seminggu sebelum melancarkan operasi susulan pendedahan berkenaan. 

Perkembangan ini memperlihatkan bagaimana maklumat daripada kewartawanan lapangan boleh melengkapkan usaha penguatkuasaan, sekali gus membuktikan kepentingan kerjasama media, masyarakat dan pihak berkuasa dalam mengenal pasti kegiatan mencurigakan.

Bagaimanapun, isu Janda Baik tidak boleh diletakkan di bahu Imigresen semata-mata kerana bidang kuasanya tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang berkaitan kemasukan dan keberadaan warga asing.

Persoalan penggunaan tanah, kelulusan perniagaan, penerokaan hutan dan pematuhan syarat premis turut membabitkan kerajaan negeri, pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.

Justeru, pendekatan bersepadu perlu diperkukuh supaya setiap agensi memainkan peranan mengikut bidang kuasa masing-masing, bukan bergerak secara terpisah. 

Pemantauan berkala, perkongsian maklumat dan pemeriksaan terhadap kegiatan ekonomi serta status tanah boleh membantu mengesan pelanggaran undang-undang sebelum berkembang menjadi masalah lebih besar.

Tidak kurang penting, tindakan susulan perlu diambil untuk meneliti bagaimana warga asing boleh menjalankan kegiatan ekonomi di luar tujuan asal mereka dibenarkan berada di negara ini, termasuk dalam sektor pertanian, perniagaan dan perkhidmatan. 

Aspek pematuhan syarat permit, lesen perniagaan, penggunaan tanah serta kemungkinan penerokaan kawasan hutan perlu diperiksa mengikut bidang kuasa agensi berkaitan supaya tiada kegiatan menyalahi undang-undang terlepas daripada penguatkuasaan di tempat lain atau pada masa depan.

Hakikatnya, operasi di Janda Baik memperlihatkan betapa isu kehadiran warga asing memerlukan tindakan melangkaui penguatkuasaan imigresen semata-mata. 

Apatah lagi, dengan 224 lokasi panas sudah dikenal pasti di seluruh negara, setiap agensi berkaitan perlu memperkemas pemantauan dan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing supaya pelanggaran undang-undang dapat dibendung sebelum kegiatan terbabit berkembang menjadi lebih sukar dikawal. #BeritaHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts