by Oh! Semput
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program seperti ini yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu bertujuan memastikan anggota ATM terlibat dalam aktiviti berfaedah di samping menjaga keseimbangan kesihatan mental dan fizikal.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga ATM Zon Selatan di X-Park, Kluang, Johor hari ini.
Mohamed Khaled turut menekankan bahawa aspek kesejahteraan mental dan fizikal anggota adalah elemen penting dalam memastikan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap optimum.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, program sebegini turut menjadi medium memperkukuh hubungan antara ATM dan masyarakat awam, selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Tambahnya, ancaman semasa kini tidak lagi berbentuk konvensional tetapi turut melibatkan aspek siber, media sosial serta gangguan terhadap fasiliti kritikal negara.
Program itu menghimpunkan lebih 2,600 anggota ATM bersama keluarga, sekali gus mencerminkan pendekatan Whole-of-Government, Whole-of-Society (WoGoS) yang digariskan dalam Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030.

Penganjuran tersebut turut melibatkan pelbagai aktiviti sukan moden dan tradisional seperti futsal, badminton, galah panjang serta sepak bulu ayam yang bertujuan mengeratkan silaturahim antara warga tentera serta masyarakat setempat.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled turut mengulas mengenai pembekalkan sistem peluru berpandu antikapal untuk keperluan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini dalam proses penilaian melibatkan beberapa negara.
Beliau menjelaskan antara kriteria utama termasuk keupayaan integrasi sistem, tempoh penghantaran, kos serta teknologi peluru berpandu yang ditawarkan.
Mengulas aspek teknologi, beliau berkata, sistem peluru berpandu moden seperti Naval Strike Missile (NSM) menjadi antara rujukan dalam penilaian kerana keupayaan mengesan dan menjejak sasaran secara lebih tepat.

Turut hadir ke program itu ialah Ketua Staf Am Markas Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Norsham Md Tap; Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Zulhelmi Masdar; serta Ketua Jurutera Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Ts. Sharuddin Mohd Noh.