Hari Keluarga ATM perkukuh CIMIC, rapatkan hubungan tentera dan rakyat

by Oh! Semput


3
SHARES
33
VIEWS
Posted on 28 Jun 2026 14:04:27

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program seperti ini yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu bertujuan memastikan anggota ATM terlibat dalam aktiviti berfaedah di samping menjaga keseimbangan kesihatan mental dan fizikal.

“Program seperti ini telah kita mulakan pada tahun lepas bagi tujuan untuk kita mencapai beberapa perkara.
“Antaranya kita mahu anggota kita terlibat dalam aktiviti yang berfaedah dalam mengisi masa lapang mereka, dan pada masa yang sama kita tidak mahu mereka terjerumus dalam apa-apa tindakan yang tidak memberikan manfaat kepada diri dan perkhidmatan,” katanya.

alt

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga ATM Zon Selatan di X-Park, Kluang, Johor hari ini.

Mohamed Khaled turut menekankan bahawa aspek kesejahteraan mental dan fizikal anggota adalah elemen penting dalam memastikan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap optimum.

“Pada masa yang sama kita tekankan soal kesihatan tubuh dan mental anggota tentera supaya ia menyumbang kepada kesiagaan mereka sebagai anggota ATM.
“Ini penting kerana kesiapsiagaan bukan hanya soal aset dan latihan, tetapi juga kekuatan manusia di belakangnya,” ujarnya.

alt

Dalam masa yang sama, beliau berkata, program sebegini turut menjadi medium memperkukuh hubungan antara ATM dan masyarakat awam, selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

“Melalui program ini, kita mahu wujudkan hubungan yang lebih rapat antara tentera dengan masyarakat kerana pertahanan negara bukan hanya terletak kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM semata-mata.
“Ia memerlukan penyertaan seluruh rakyat,” katanya.

Tambahnya, ancaman semasa kini tidak lagi berbentuk konvensional tetapi turut melibatkan aspek siber, media sosial serta gangguan terhadap fasiliti kritikal negara.

“Kalau kita lihat hari ini, ancaman tidak semestinya berbentuk pertembungan ketenteraan.
“Ia boleh berlaku melalui media sosial, serangan terhadap fasiliti air dan elektrik, dan perkara ini boleh memberi kesan langsung kepada rakyat. Sebab itu rakyat perlu menjadi mata dan telinga kepada keselamatan negara,” tegasnya.

Program itu menghimpunkan lebih 2,600 anggota ATM bersama keluarga, sekali gus mencerminkan pendekatan Whole-of-Government, Whole-of-Society (WoGoS) yang digariskan dalam Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030.

alt

Penganjuran tersebut turut melibatkan pelbagai aktiviti sukan moden dan tradisional seperti futsal, badminton, galah panjang serta sepak bulu ayam yang bertujuan mengeratkan silaturahim antara warga tentera serta masyarakat setempat.

alt

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled turut mengulas mengenai pembekalkan sistem peluru berpandu antikapal  untuk keperluan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini dalam proses penilaian melibatkan beberapa negara.

“Kita ada beberapa negara termasuk negara Eropah, Turki dan Korea yang sedang kita timbang.
“Penilaian ini bukan sekadar umum, tetapi kita lihat sama ada sistem yang ditawarkan boleh diintegrasikan dengan combat management system (CMS) yang kita gunakan, khususnya dalam kapal tempur pesisir Littoral Combat Ship (LCS) yang berasaskan teknologi Perancis,” kata Mohamed Khaled.

Beliau menjelaskan antara kriteria utama termasuk keupayaan integrasi sistem, tempoh penghantaran, kos serta teknologi peluru berpandu yang ditawarkan.

“Kita lihat siapa yang boleh hantar lebih cepat, sama ada satu, dua atau tiga tahun, bukan sampai lapan tahun. Kita juga tengok soal harga supaya tidak terlalu mahal, dan paling penting kemampuan sistem itu sendiri,” jelasnya.

Mengulas aspek teknologi, beliau berkata, sistem peluru berpandu moden seperti Naval Strike Missile (NSM) menjadi antara rujukan dalam penilaian kerana keupayaan mengesan dan menjejak sasaran secara lebih tepat.

“Teknologi hari ini sangat maju. Contohnya ada sistem yang tidak mudah dikesan radar, dan boleh menukar laluan ketika menghampiri sasaran.
“Ia juga mampu mengenal pasti bentuk sasaran berdasarkan siluet, jadi hanya sasaran tertentu akan dikenal pasti,” ujarnya.

alt

Turut hadir ke program itu ialah Ketua Staf Am Markas Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Norsham Md Tap; Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Zulhelmi Masdar; serta Ketua Jurutera Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Ts. Sharuddin Mohd Noh.

Ad test

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts