by Oh! Semput

PRESIDEN Bashar al-Assad.
DAMSYIK: Presiden Bashar al-Assad berkata kemenangan tenteranya di Aleppo menjadi ‘langkah besar’ ke arah menamatkan perang saudara selama lima tahun di negara itu, ketika pembangkang di bandar raya kedua terbesar Syria kehilangan lebih banyak wilayah.
Dalam temubual dengan akhbar Al-Watan yang disiarkan hari ini, Assad berkata menewaskan pembangkang di Aleppo tidak akan menamatkan konflik itu.
“Memang benar kami akan memperoleh semula Aleppo, tetapi biarlah kita menjadi realistik, ia tidak bermakna tamatnya perang di Syria.
“Namun akan menjadi langkah besar ke arah mengakhirinya,” kata Assad.
Dalam serangan selama tiga minggu, tentera kerajaan merampas semula hampir 80 peratus timur Aleppo, kubu kuat pemisah sejak 2012.
Semakin terpinggir di kawasan semakin kecil di tenggara Aleppo, pembangkang pada Rabu menggesa gencatan senjata kemanusiaan selama lima hari.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan gencatan senjata di Aleppo, Assad berkata: “Ia tidak wujud.
“Pihak Amerika Syarikat terutamanya bertegas menuntut gencatan senjata kerana ejen mereka dalam keadaan sukar.”
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, mengadakan rundingan baru dengan rakan sejawatannya dari Russia, Sergei Lavrov, di Jerman pada Rabu tetapi tiada persetujuan dicapai dalam usaha menggantung serangan di bandar raya itu.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), 19 penduduk awam terbunuh dalam pengeboman dilakukan rejim di timur Aleppo pada Rabu.
Sementara pengarah pertubuhan Save the Children, Sonia Khush, berkata puluhan ribu kanak-kanak di Aleppo menjadi sasaran serangan.
Assad berkata, kekalahan pembangkang di Aleppo bermakna perubahan perjalanan perang seluruh Syria dan tiada apa lagi yang tinggal kepada pemisah dan penyokong mereka.
Dalam temubual itu juga, Assad berjanji memerangi pembangkang di luar Aleppo, kerana perang di Syria tidak akan berakhir sehingga selepas keganasan dihapuskan seluruhnya.
“Pengganas ada di mana-mana, walaupun jika menang di Aleppo, kami akan meneruskan perang terhadap mereka,” katanya. – AFP
Category: Dunia