by Oh! Semput
SUDAH dua bulan demam cinta hero dan heroin drama Suri Hati Mr. Pilot, Neelofa dan Fattah Amin menjadi buah mulut orang ramai sehingga mendapat jolokan #Lofattah dalam kalangan peminat mereka.
Sejak muncul sebagai teraju utama dalam drama tersebut, keintiman Neelofa, 27, dan Fattah, 26, pada awalnya hanyalah berpaksikan andaian gimik bagi melariskan produk lakonan mereka pada mata peminat.
Apa sahaja yang dilakukan mereka termasuk di laman sosial atau kekerapan bersama ketika menghadiri beberapa majlis anugerah makin menyemarakkan api kehangatan hubungan ‘teman tapi mesra’ tersebut.
Pada masa sama, kehangatan drama asmara mereka turut menerima respons negatif daripada sesetengah peminat yang mengakui sudah bosan dengan ledakan #Lofattah yang sering menjadi topik berita hiburan dalam kebanyakan portal.
Seperti ingin menamatkan lelah mengheret karakter Warda di dunia realiti, Neelofa akhirnya bersuara tentang teka-teki kemesraannya bersama Fattah.
Status yang dimuat naik oleh Neelofa menerusi Instagramnya malam kelmarin memberi bayangan bahawa episod fantasi cinta #Lofattah bakal menemui noktah selepas ini.
Meluahkan perasaan menerusi kapsyen yang panjang lebar, antara lain isi penulisan Neelofa menyentuh tentang kepeduliannya terhadap khalayak apabila virus #Lofattah masih belum reda.
Mengakui tertekan dengan keadaan tersebut, Neelofa meminta ruang berehat daripada terus menjadi Warda bagi menjalani kehidupan peribadi dengan tenang.
“Apabila membaca berita tentang kehidupan peribadi, lebih-lebih lagi membabitkan keluarga, saya berasa marah dan sedih. Jika menyentuh tentang saya seorang, itu masih boleh diterima tetapi apabila ia berkaitan dengan keluarga sendiri dan keluarga orang lain, itu tidak elok.
“Apa sahaja yang saya lakukan, keluarga adalah keutamaan. Apa yang kalian akan rasa jika keluarga berasa kecewa dengan anda? Jadi, saya harap kalian semua akan faham,” tulisnya panjang lebar.
Sejurus memuat naik status berkenaan, laman Instagramnya dihujani dengan pelbagai komen daripada peminat.
Segelintir pengikut berharap Neelofa kuat meneruskan hidup, selain masih berharap pasangan itu akan bertemu jodoh suatu hari nanti.
Keintiman hubungan pasangan itu mula berlaku selepas tamatnya drama Suri Hati Mr. Pilot pada awal November lalu.
Tindak-tanduk mereka yang dilihat kerap memuat naik video dan gambar berdua di laman Instagram memarakkan dan mencetuskan persoalan kepada peminat tentang hubungan mereka.
Malah, beberapa kejadian seperti tindakan Neelofa menemani Fattah bermain futsal dan gambar Fattah memegang tangan Neelofa ketika berada di Brunei dianggap ‘manis’ oleh peminat. Ia juga seolah-olah menguatkan kenyataan bahawa kedua-duanya sedang asyik dilamun cinta.
Tidak mahu burung terbang dipipiskan, Neelofa segera menangkis minda peminat daripada terus berkhayal. Apa pun penjelasan balik daripada Fatah semestinya membasuh beberapa persoalan berbangkit. Tunggu!
Baca lagi: Gossip Cinta Bersama Fattah, Neelofa Akui Emosi Terganggu