by Oh! Semput
KETIKA ketegangan diplomatik semakin memuncak berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelar Duta Korea Utara ke Malaysia Kang Chol berhubung kenyataannya, semalam.
“Kenyataan duta itu sama sekali tidak wajar.
“Ia secara diplomatik adalah biadap. Malaysia tetap teguh dengan pendiriannya berdasarkan prinsip undang-undang untuk mencari kebenaran kerana kes itu berlaku di negara ini,” kata Najib kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Progran Temuduga Terbuka SL1M peringkat zon tengah 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
“Kita takkan tertekan dalam membuat keputusan ke atas kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Katanya, Korea Utara seharusnya membantu Malaysia mencari kebenaran daripada membuat kenyataan tidak berasas.
Pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam, dutanya, Kang Chol berkata Pyongyang tidak yakin dengan siasatan yang dijalankan oleh pasukan polis Malaysia dan menimbulkan kemungkinan wujudnya tangan lain di sebalik siasatan.
Beliau juga mendakwa polis negara ini mengancam anggota keluarga seorang rakyatnya dan memukul anaknya ketika menyerbu sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Kang Chol mendakwa polis malah mengacukan pistol kepada anggota keluarga itu dan mengancam nyawa mereka serta memukul anak remajanya di muka.