by Oh! Semput
Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian subsidi petrol sehingga 300 liter kepada petugas kesihatan yang terkesan, khususnya mereka yang menjalankan tugasan lapangan secara aktif.
Menerusi kenyataan yang dikongsi di media sosial, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Dr Zaliha Mustafa menyatakan langkah itu penting bagi memastikan keseimbangan antara disiplin fiskal negara dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan awam.
Cadangan itu hadir susulan pandangan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan (MAPSU) yang menekankan keperluan mengekalkan kuota subsidi petrol 300 liter sebulan bagi petugas yang sering melakukan tugasan luar.
Menurut Zaliha, tidak dinafikan ramai petugas kesihatan awam menggunakan kenderaan sendiri bagi melaksanakan lawatan pesakit kronik, pemantauan penyakit berjangkit serta intervensi kesihatan komuniti.

Dalam masa sama, beliau turut menyokong langkah kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol kepada 200 liter di bawah program BUDI95 sebagai usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara, terutama dalam menghadapi tekanan krisis tenaga global.
Jelasnya, majoriti rakyat tidak terkesan dengan pelarasan tersebut memandangkan data menunjukkan 90 peratus pengguna menggunakan petrol kurang daripada 200 liter sebulan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penyelarasan had kuota petrol RON95 bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April lalu, namun harga kekal pada RM1.99 seliter bagi membantu meringankan beban pengguna.
: Facebook Dr Zaliha Mustafa