by Oh! Semput
Dua syarikat baru telah menerima token akses kepada teknologi pembangunan cip semikonduktor Arm dalam sebuah acara yang disempurnakan oleh Kementerian Ekonomi melalui Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Dua syarikat tersebut adalah Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd telah menerima token akses untuk teknologi Compute Subsystem (CSS) dan juga program Arm Flexible Access )AFA).
Dalam pada itu, dua lagi syarikat teknologi juga telah menerima token akses kepada teknologi pembangunan cip semikonduktor ARM, dan ini bermakna bahawa sebanyak lapan syarikat sudah menerima token teknologi tersebut, dan sudah boleh mula membangunkan teknologi cip semikonduktor mereka sendiri menggunakan teknologi Arm sebagai asas.
Menurut Akmal Nasrullah, empat syarikat awal yang telah menerima token akses teknologi sebelum ini dikatakan sedang dalam fasa awal pembangunan teknologi cip semikonduktor dan sedang menilai akses kepada hakmilik intelek Arm yang diperlukan untuk membina cip semikonduktor mereka sendiri.

Beliau juga menjangkakan bahawa cip semikonduktor yang dibina syarikat-syarikat tempatan ini akan boleh dimanfaatkan pelbagai industri dan dikomersilkan secara umum menjelang tahun 2030 kelak. Beliau mengatakan bahawa ini adalah kerana syarikat-syarikat ini akan memerlukan masa tiga tahun untuk melalui proses penyelidikan dan pembangunan teknologi ini, sebelum ia diuji dan dihasilkan secara besar-besaran.
Token akses teknologi CSS membolehkan syarikat-syarikat teknologi untuk merekacipta dan membangunkan cip semikonduktor mereka sendiri menggunakan IP teknologi yang telah dihasilkan oleh Arm, yang membolehkan mereka memasuki pelbagai jenis industri seperti automotif, automasi, perkomputeran, pusat data dan sebagainya.
Token akses AFA pula membolehkan syarikat-syarikat untuk membiasakan diri mereka dengan teknologi pembuatan cip semikonduktor ARM yang tidak mempunyai keperluan untuk menghasilkan cip semikonduktor mereka sendiri.
Penerimaan token-token akses kepada teknologi ARM ini juga adalah sebahagian daripada pelan kerajaan untuk melatih 10,000 profesional dalam industri pengeluaran cip semikonduktor supaya mereka dapat membantu negara mencapai status pendapatan tinggi, khususnya apabila sektor tersebut dilihat mempunyai permintaan yang tinggi.
Pasaran Malaysia dikenali sebagai negara pilihan untuk syarikat-syarikat cip semikonduktor global menghantar produk-produk semikonduktor untuk diuji dan dipakej sebelum dijual secara global. Kepakaran ini digunakan sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan sektor R&D teknologi cip semikonduktor kita sendiri.
: The Edge