by Oh! Semput
KUANTAN: Kerajaan Pahang memberi jaminan tidak akan berdiam diri dalam menangani isu pokok tumbang susulan tragedi di Jalan Genting Highlands-Janda Baik, Bentong yang mengorbankan empat nyawa.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri telah menggerakkan tindakan segera bagi mengenal pasti dan menebang pokok-pokok yang berisiko tinggi di seluruh negeri bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Katanya ketika ini fokus kerajaan bukan untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak, sebaliknya memastikan langkah pencegahan dilaksanakan dengan segera demi keselamatan orang ramai.
“Kita tidak akan berdiam diri. Apa yang penting sekarang ialah mengambil tindakan segera supaya tragedi seperti ini tidak berulang.
“Kita bukan hendak mencari salah siapa, sama ada PBT atau JKR. Perkara sudah berlaku, sekarang kita perlu selesaikan masalah dan lindungi keselamatan rakyat,” katanya selepas Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar, pada semalam.
Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata beliau telah mengarahkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir. Razali Kassim memanggil semua agensi berkaitan bagi menyelaraskan tindakan segera.
Menurutnya, operasi pemantauan akan memberi keutamaan kepada kawasan berisiko tinggi dengan mengambil kira pandangan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jelas Wan Rosdy faktor keluasan negeri Pahang memerlukan tindakan susulan perlu dilakukan secara berfasa, namun menegaskan tiada kompromi dalam aspek keselamatan awam.
Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga mangsa, termasuk anak Allahyarham Mohd Radzi Rahimi, sambil menegaskan bantuan sewajarnya akan disalurkan selepas semua keperluan keluarga dikenal pasti.
Difahamkan keadaan seorang daripada anak kembar mangsa itu semakin stabil dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
“Setakat ini UMNO tampil ke depan, kita bantu semua urusan pengebumian, pengangkutan, urusan jenazah untuk empat keluarga, UMNO yang menyelesaikannya.
“Yang lain itu saya telah meminta YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin selaku Ketua UMNO Bahagian Maran, kerana Allahyarham merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, akan melihat keperluan lanjut,” katanya ketika diminta mengulas isu kebajikan anak mangsa tragedi pokok tumbang.
Pada Isnin lalu, empat individu maut, manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke Pintu Gerbang Janda Baik, Bentong.
Mangsa yang maut ialah Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd Radzi Rahimi, 40, isterinya Nuraini Muhammad Jafri,36, anak mereka Muhammad Rizz Hazim,5 dan adik iparnya Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.
Manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan. #MalaysiaGazette