by Oh! Semput
Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengkaji mekanisme terbaik membabitkan cadangan levi ke atas kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong pembangunan infrastruktur pengecasan di seluruh negara.
Memetik laporan Bernama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Ghani berkata sebagaimana penjelasan beliau di Dewan Negara semalam, kerajaan pada masa ini masih belum memutuskan untuk mengenakan levi atau cadangan caj berkenaan dan sedang meneliti mekanisme yang paling sesuai.
“Kita tidak nyatakan yang kerajaan akan mengenakan cadangan levi itu ke atas rakyat. Kita sedang melihat (meneliti) mekanisme paling sesuai. Namun, jika kos itu dikenakan ke atas pengeluar, mereka akan melepaskan juga kos itu kepada pengguna. Persoalannya ialah pada nilai berapa, kos dan berapa banyak yang dikenakan serta lama mana kerajaan dapat terus memberi subsidi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Johari menekankan bahawa kerajaan telah menyediakan pelbagai subsidi dan pada masa sama perlu membangunkan infrastruktur pengecasan EV terbabit.
Beliau berkata kerajaan juga perlu mengambil kira gambaran besar yang lebih menyeluruh bagi memastikan EV dan kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) dapat wujud seiringan.
Menurutnya, Malaysia masih bergantung kepada penjanaan elektrik berasaskan gas dan arang batu. Oleh itu, pembangunan ekosistem EV perlu mengambil kira kos penyediaan tenaga serta infrastruktur yang diperlukan.
“Semua ini melibatkan kos elektrik, gas, arang batu dan sebagainya. Inilah yang perlu difahami. Ramai yang tidak faham kerana hanya lihat dari satu sudut sahaja.. (Kedudukan kewangan) kerajaan pula dalam keadaan defisit. Bila defisit, macam mana kita nak buat? Dari mana kita nak dapat duit? Oleh itu, salah satu pilihan adalah mengenakan caj ke atas pengeluar yang pada akhirnya (dijangka) melepaskan kos itu kepada pengguna,” katanya.
Pada sesi di Dewan Negara semalam, Johari memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan mekanisme untuk mengenakan caj ke atas setiap EV yang dijual bagi mewujudkan tabung pembinaan rangkaian pengecas awam di seluruh negara.
Menurut beliau, cadangan itu sedang diperhalusi memandangkan kerajaan berdepan kekangan untuk membiayai pembangunan infrastruktur pengecas berskala besar seperti yang dilaksanakan di China.
{suggest}
Kerajaan Masih Kaji Cadangan Levi EV – Perlu Seimbangkan Prasarana Pengecasan, Kepentingan Awam WISER.MY.