by Oh! Semput
SHAH ALAM: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga empat mangsa yang maut dalam tragedi kenderaan pacuan empat roda dihempap pokok tumbang di Bentong, Pahang.
Beliau turut merakamkan rasa dukacita kepada warga UMNO Bahagian Maran susulan kehilangan Ketua Pemuda UMNO Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi yang terkorban dalam kejadian berkenaan bersama isteri, anak dan adik iparnya.
"Menerima perkhabaran sedih mengenai kemalangan yang meragut nyawa Allahyarham Mohd Radzi berserta isteri, anak dan adik iparnya di Janda Baik.
"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga dan UMNO Bahagian Maran," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Asyraf Wajdi turut mendoakan agar ALLAH SWT mengampunkan segala dosa mangsa, melimpahkan rahmat dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah turut berkongsi berita duka mengenai pemergian Allahyarham Mohd Radzi bersama tiga ahli keluarganya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah Isnin, empat individu termasuk seorang kanak-kanak maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Bentong, Bentong.
Mangsa yang maut ialah pemandu kenderaan berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 36 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangku, serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang berada di bahagian penumpang.
Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai kembar kepada mangsa kanak-kanak yang maut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan lanjut.#sinarharian