by Oh! Semput
Siri Huawei Pura 90s dilancarkan ke peringkat global dalam acara yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu. Akhirnya selepas beberapa tahun hanya menawarkan peranti 4G di Malaysia, siri Pura 90s menyokong rangkaian 5G di Malaysia. Adalah 5G kembali memadai untuk anda kembali menggunakan peranti keluaran Huawei.

| Huawei Pura 90s Pro Max | |
|---|---|
| Skrin | 6.9″ LTPO OLED, 120Hz, HDR. |
| Pemproses | Kirin 9030S (5nm) |
| Cip | 1 x 2.7 GHz Taishan Big 3 x 2.15 GHz Taishan Mid 4 x 1.62 GHz Taishan Little |
| Cip Grafik | Maleoon 935F |
| RAM | 12 GB |
| Muatan Dalaman | 512GB |
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.4-4.0, OIS (Sudut Lebar) 40 MP f/2.2 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.6, OIS (Telefoto 4X) |
| Kamera Depan | 13MP f/2.0 |
| Bateri | 6000 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 80W Nirwayar Berbalik 10W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP69 |
| Sistem Imbasan | Cap jari terbina sisi |
| Harga Jualan | RM4899 (12/512GB) |
Skrin 6.9″ adalah dari keluarga LTPO OLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Terdapat sokongan HDR tetapi malang sekali tidak disokong dalam peranti popular seperti Netflix dan Disney+. Di Netflix hanya penstriman HD boleh dilakukan dengan logo Dolby Vision dan HDR10 tidak terpapar.

Skrin memaparkan warna dengan baik dengan keterangan cukup tinggi untuk digunakan di bawah cahaya matahari yang terang. Setiap sentuhan serta tatalan juga dikesan dengan baik. Sistem haptik juga moden. Tiada komen negatif boleh saya berikan mengenai skrin Pura 90s Pro Max kecuali ia tidak mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin seperti peranti mercu lain.
Pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa di sisi kanan. Ia mengimbas dengan pantas cuma adalah jarang sekali peranti mercu candybar tidak mempunyai pengimbas jari bawah skrin. Sistem imbasan wajah yang disertakan adalah pantas dengan ia boleh menyahkunci selagi terdapat sumber cahaya.
Rekaan tubuh adalah sama dengan Pura 80 Pro Max tahun lalu. Sisi berkotak yang sedap dalam tangan serta bingkai logam yang terasa premium. Pada model yang diulas, bingkai mempunyai warna cerun berpadanan dengan warna cerun pelangi panel belakang peranti.

Butang kuasa dan laras audio di sisi kanan diperbuat daripada logam dengan ia selesa ditekan. Di bahagian bawah terdapat talam SIM, salah satu speaker stereo dan port pengecas USB-C. Sementara itu di atas terdapat lubang mikrofon dan satu kekisi audio untuk sebuah lagi speaker.

Tubuh peranti bukanlah yang paling nipis tetapi masih memuaskan. Bonggol kamera sahaja yang amat besar sehingga mengambil ruang besar di belakang. Bonggol menempatkan ketiga-tiga lensa, sensor warna dan juga pemancar infra merah. Disebabkan bonggol besar, peranti kurang seimbang dengan ia berat di bahagian kepala. Ia juga membuatkan Pura 90 s Pro Max tidak boleh diletakkan rata di atas meja kerana bonggolnya tinggi.

Tubuh melepasi piawaian IP69 yang membolehkan ia ditenggelamkan di bawah air dan percikan air bertekanan tinggi. Bateri pula sebesar 6000 mAh dari jenis silikon karbon (SiC) yang menyokong pengecasan 100W berwayar, 80W nirwayar dan berbalik 10W. Pengecas disertakan dalam kotak dengan setiap pembelian peranti.
Di Malaysia sistem operasi yang digunakan ialah EMUI 16 berasaskan Android 16. Ini ialah langkah baik kerana HarmonyOS 6 di China telah membuang semua sokongan Android. Dengan pilihan aplikasi HarmonyOS yang lebih ke arah China, ia akan menghadkan jumlah aplikasi yang boleh di pakai.

Seperti versi EMUI terdahulu, aplikasi boleh dipasang menerusi App Gallery atau Petal Search. Integrasi mencari aplikasi di luar App Gallery adalah sangat baik dengan Micro G akan membuka skrin Play Store terus dari dalam App Gallery. Ada beberapa langkah tambahan tetapi integrasi semakin baik dengan ia tidak lagi memeningkan kepala jika dibandingkan dengan dua tahun lalu.
Saya tidak mempunyai masalah memasang YouTube, Gboard, Maps, Gmail, Instagram, Facebook, Threads, Netflix, dan pelbagai lagi aplikasi yang memerlukan Google. Proses mengemaskini juga tidak lagi kompleks kerana dalam App Gallery wujud tab untuk mengemaskini aplikasi di pasasng menggunakan App Gallery atau stor lain.

Majoriti aplikasi boleh dijalankan tanpa sebarang isu besar. Telah saya nyatakan di atas Netflix boleh dijalankan cuma tiada HDR. Dua aplikasi sahaja yang saya sedari gagal dibuka iaitu Google Wallet dan Android Auto.
Satu perkara yang sedikit mengecewakan ialah jumlah iklan dalam peranti. App Gallery akan memaparkan iklan selama beberapa saat (yang tidak boleh ditutup terus) selang berbapa kali carian aplikasi dilakukan. Tidak seperti pada HyperOS 3 saya tidak menjumpai tetapan untuk mematikan iklan. Adalah pelik peranti harga hampir RM5000 memaparkan iklan seperti peranti mampu milik Redmi dan Poco harga bawah RM2000 sebuah.

Kerisauan terakhir ialah tiada maklumat rasmi berapa lama Pura 90s Pro Max akan menerima kemas kini. Ia tiada di laman rasmi Huawei dan tiada pada sebaran berita yang saya terima semasa peranti dilancarkan. Sehingga ke hari ini ia kekal misteri. Sungguhpun begitu sepanjang tempoh ulasan EMUI 16 menerima kemas kini sekuriti sehingga bulan Julai. Secara rasminya Huawei tidak menyokong Android tetapi di pasaran global ia satu keperluan.
Cip Kirin 9030S menggunakan teknologi 5nm sedangkan peranti mercu lain sudah berpindah ke 3nm dan ke bawah. Seperti biasa beberapa ujian penanda aras telah saya lakukan dengan cip ini dibandingkan dengan cip-cip mercu di bawah,
| Peranti | Skor |
| Huawei Pura 90s Pro Max | 1,285,595 |
| Realme 16 Pro+ 5G | 1,424,007 |
| Oppo Find X9 Ultra | 4,120,640 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Xiaomi 17T Pro | 3,530,586 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |

| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Huawei Pura 90s Pro Max | 1261 | 4441 |
| Realme 16 Pro+ 5G | 1337 | 4132 |
| Oppo Find X9 Ultra | 3505 | 10277 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Xiaomi 17T Pro | 3158 | 9766 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |

| Cip | Skor |
| Huawei Pura 90s Pro Max | 1583 |
| Realme 16 Pro+ 5G | 2108 |
| Oppo Find X9 Ultra | 7391 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Xiaomi 17T Pro | 6939 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2567 |

Kirin 9030s bukan sebuah ci kelas mercu dengan prestasi lebih setanding Snapdragon 7 Gen 4 yang digunakan Realme 16 Pro+. Harapan pembeli harus sepadan dengan realiti. Pura 90s Pro Max boleh menjalankan kesemua aplikasi lazim dan permua dengan lancar kerana ia berfungsi seperti sebuah peranti kelas pertengahan premium.
Tidak berlaku sekalipun aplikasi Instagram, WhatsApp, Facebook, TikTok, YouTube, dan Netflix tergendala semasa digunakan. Untuk kegunaan harian, Pura 90s Pro Max tidak akan mengecewakan pemilik.

Apabila menjalankan permua pula, COD Mobile, PUBG Mobile, Genshin dan MLBB boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan tinggi. Pada peranti lebih berkuasa dilengkapi Snapdragon 8 Elite Gen 5 misalnya, tetapan MAX atau ULTRA boleh digunakan. Pada Pura 90S Pro Max ia hanya sehingga HIGH sahaja. Adakah anda boleh. menyedari perbezaannya? Jawapan ikhlas mungkin tidak kerana semua permua yang diuji berjalan pada kadar bingkai yang tinggi.
Di atas kertas markah penanda aras Kirin 9030s adalah rendah tetapi dalam penggunaan harian ia adalah cip yang cukup berkuasa untuk majoriti aplikasi yang ingin digunakan.
Tri kamera utama 50MP sudut lebar dengan OIS, 40MP ultra sudut lebar dan 200MP telefoto dengan OIS. Sementara itu di hadapan kamera 13MP digunakan untuk swafoto. Terdapat pelbagai mod standard seperti potret, malam, super macro dan panorama yang boleh diakses oleh pengguna.

Gambar yang ditangkap nampak semula jadi, terang dan mempunyai warna yang sama dengan dunia sebenar. Prestasi adalah baik di kawasan terbuka mahupun tertutup. Algoritma tidak terlalu agresif sehingga membuatkan gambar nampak terlalu diproses. Mod zum dan potret juga adalah baik. Zum sehingga 4X masih nampak tajam kerana penggunaan sensor 200MP yang membolehkan gambar yang tajam ditangkap pada tetapan zum yang tinggi. Yang paling impresif ialah mod super macro kerana gambar makro yang dekat dengan subjek boleh diambil dengan tajam.










Bateri 6000 mAh boleh bertahan sepanjang hari dengan waktu penggunaan boleh bertahan sepanjang hari. Jika peranti dicabut pada jam 7 pagi, ia masih mempunyai sekitar 10% bateri pada jam 10 malam. Hayat yang memuaskan tetapi tidak sebaik peranti mercu lain yang dilengkapi bateri lebih besar dan pemproses yang lebih cekap menggunakan kuasa. SOT terbaik saya lihat adalah sekitar 10 jam.
Bateri boleh dicas dalam masa 60 minit dengan pengecas 100W. Pengecasan nirwayar adalah sehingga 80W tetapi saya tidak mempunyai pengecas nirwayar sepantas ini. Menarik sekali bateri Honor Magic V6 sebesar 6600 mAh juga hanya memerlukan 60 minit untuk dicas dengan pengecas 80W. Jadi pengecas Huawei yang lebih berkuasa mengambil masa lebih lama mengecas bateri bersaiz lebih kecil.
Kelantangan speaker fizikal adalah memuaskan kerana ia cukup kuat dan menembak ke sisi. Hasilnya audio kedengaran lebih seimbang. Kesan stereo boleh didengari apabila memainkan video dan permainan video. Tetapi ia adalah sedikit rata jika dibandingkan dengan speaker peranti lain kerana tiada sistem Dolby Atmos.

| Huawei Pura 90s Pro Max | Vivo X300 Ultra | Honor Magic8 Pro |
| 6.9″ LTPO OLED, 120Hz, HDR | 6.82″ LTPO AMOLED, 144Hz, Dolby Vision, 4500 nit | 6.71″ LTPO OLED, 120Hz Dolby Vision, 6000 nit |
| Kirin 9030S (5nm) 1 x 2.7 GHz Taishan Big 3 x 2.15 GHz Taishan Mid 4 x 1.62 GHz Taishan Little | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.74 GHz 6 xOryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz |
| Maleoon 935F | Adreno 840 | Adreno 840 |
| 12 GB | 16 GB LPDRR5X | 12/16 GB LPDRR5X |
| 512 GB | 512/1000 GB UFS 4.1 | 512/1000 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama 50 MP, f/1.4-4.0, OIS (Sudut Lebar) 40 MP f/2.2 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.6, OIS (Telefoto 4X) | Kamera Utama 200 MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50 MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.7, OIS (Telefoto 3.7X) Lensa Zeiss | Kamera Utama 50 MP, f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/2.0 (Ultra Lebar) 200 MP, f/2.6, OIS (Telefoto 3.7X) |
| Kamera Hadapan 13MP f/2.0 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.5 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.0 |
| IP69 | IP69 | IP69K |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 6000 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 80W Nirwayar Berbalik 10W | 6600 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 60W Nirwayar Berbalik 10W | 7100 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 80W Nirwayar Berbalik 10W |
| EMUI 16, Android 16, Kemaskini ? | OriginOS 6, Android 16 Kemaskini 5+7 Tahun | MagicOS 10, Android 16 Kemaskini 7+7 Tahun |
| Dilancarkan Julai 2026 | Dilancarkan Mei 2026 | Dilancarkan November 2025 |
| RM4899 (12/512GB) | RM 6,799 (16/512GB) RM 7,799 (16/1000GB) | RM4.599 (16GB/512GB) RM5,199 (16GB/1000GB) |
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
Huawei Pura 90s Pro Max ialah telefon terbaik dihasilkan Huawei sejak mereka dikenakan sekatan teknologi oleh Amerika Syarikat. Binaan peranti mantap, selesa dalam tangan, perisian kini boleh menggunakan perkhidmatan Google dengan lebih mudah, kamera boleh tahan, bateri juga tahan lama dan paling penting kita kembali boleh menggunakan 5G.

Ia terbaik dihasilkan oleh Huawei tetapi ia bukan terbaik di pasaran khususnya dalam kategori mercu. Pemproses Kirin 9030S bukan sebuah pemproses kelas mercu kerana ia lebih rendah berbanding Tensor G5 yang kerap kami jadikan bahan jenaka. Prestasi lebih setanding Realme 16 Pro+ (RM 2299) yang menggunakan Snapdragon 7 Gen 4.
Pada harga jualan bermula RM4899 (12/512GB) ia adalah tinggi untuk peranti kelas pertengahan. Ia hanya boleh disarankan kepada peminat tegar Huawei sahaja yang mahukan peranti 5G di Malaysia.
Pro
Kontra
