KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) yang merupakan universiti al-Quran pertama di Malaysia.
Al-Sultan Abdullah bertitah institusi pendidikan berkenaan yang dijenamakan semula daripada Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) merupakan legasi daripada Almarhum ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah bagi memartabatkan pendidikan Islam di negeri ini.
"Saya bersyukur dapat meneruskan legasi Almarhum ayahanda (Sultan Ahmad Shah).
"Saya hanya memanjangkan legasi itu, meningkatkan anjakan paradigma universiti ke satu lagi tahap supaya menjadi permata buat negeri dan rakyat Pahang," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemasyhuran UNIQSAAS di Auditorium Tuanku Canselor universiti itu, di sini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Menerusi titah diraja itu, baginda turut menzahirkan harapan supaya barisan kepimpinan memastikan perjalanan serta pengurusan UNIQSAAS berada pada landasan yang terbaik.
"Saya juga berharap semua penuntut diberikan pelajaran terbaik, sekiranya ada apa-apa diperlukan maklum kepada kerajaan negeri atau saya sendiri," titah baginda.
Di samping itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran institusi pendidikan berkenaan berjalan dengan baik sepanjang 30 tahun penubuhannya.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menandatangani plak pemasyhuran selain menyempurnakan gimik pelancaran al-Quran kerajaan negeri.
Sultan Pahang turut berkenaan mengurniakan watikah pelantikan Canselor UNIQSAAS kepada Tengku Hassanal manakala watikah pelantikan Pro Canselor kepada Wan Rosdy dan Tengku Amir Nasser.
Pada 6 Februari lepas, Al-Sultan Abdullah menzahirkan perkenan UniPSAS dijenamakan sebagai UNIQSAAS, sekali gus menjadi universiti pertama seumpamanya di negara ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan nama sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri. #harianmetro
http://www.pahangdaily.blogspot.com