by Oh! Semput
Fakta hari ini ialah harga RAM sudah meningkat 400% kali ganda berbanding Oktober 2025. SK Hynix dan Samsung yang merupakan pengeluar terbesar RAM dunia memberikan amaran krisis memori akan semakin meruncing 2027. Jadi bersedialah untuk peranti lebih mahal atau langsung tidak boleh dibeli.
Terkini peniris maklumat Kartikey Singh mendakwa pengeluar peranti dari China sedang mempertimbangkan untuk membatalkan model tertentu atau tidak menawarkan peranti mereka ke pasaran global. Menurut beliau, Xiaomi 18 Ultra telahpun dibatalkan. Sementara itu Oppo dan Vivo pula akan hanya memasarkan peranti Ultra mereka di China sahaja.

Kesukaran mendapatkan bekalan RAM menjadi faktor tindakan drastik ini diambil. Lebih-lebih lagi ketika peranti Ultra Xiaomi, Oppo dan Vivo menerima pujian kerana kemampuan fotografi yang menakjubkan tahun ini.
Walaupun masih sekadar ura-ura, ia selari dengan laporan slot tempatan RAM untuk 2027 di semua pengeluar memori sudah habis ditempah. Apple pula dikatakan menangguhkan jualan iPhone Ultra dengan ia akan hanya ditawarkan di Amerika Syarikat sahaja disebabkan kekurangan komponen.
Yang pasti jika ia berlaku kepada telefon pintar, ia pasti juga akan berlaku kepada tablet, komputer riba, desktop dan pelbagai lagi peranti yang memerlukan memori untuk berfungsi.