by Oh! Semput
FORTALEZA (Brazil), 26 Mei — Kulit ikan tilapia, yang selalunya dibuang kini dijadikan bahan untuk merawat kulit melecur di hospital-hospital Brazil.
Sebelum itu kulit babi atau tisu manusia diletakkan untuk memastikan kawasan lecur agar ia terus lembab dan membolehkan proteinnya membantu kulit sembuh.
Namun hospital Brazil yang kurang bahan-bahan itu memilih kulit ikan tersebut, yang banyak di negara itu, untuk merawat kulit melecur, lapor Reuters.
Ahli sains di Universiti Ceara mendapati kulit tilapia mempunyai kelembapan, kolagen dan tahan penyakit seumpama kulit manusia juga.
Di China, penyelidik masih menguji kesesuaian kulit ikan itu pada tikus makmal, namun ahli sains Brazil telah mengujinya pada kulit manusia.
“Penggunaan kulit tilapia pada bahagian melecur memang tidak pernah berlaku,” kata Odorico de Morais, seorang profesor Universiti Ceara.
“Kulit ikan ini selalunya dibuang begitu sahaja, jadi kami gunakan produk ini menjadikan ia sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat.”
Rawatan kulit tilapia boleh menyembuh beberapa hari lebih cepat dan mengurangkan keperluan menggunakan ubat tahan sait, kata penyelidik lagi.
Kulit ikan dibasmi kuman dengan bahan kimia sebelum didedahkan dengan radiasi bagi membunuh virus sebelum disimpan dan disejukbeku.
Apabila dirawat begini, sehingga hilang hanyir ikan, ia boleh tahan sehingga dua tahun, kata penyelidik lagi.
Dalam percubaan, rawatan alteratif itu digunakan untuk sekurang-kurangnya 56 pesakit yang mengalami lecur peringkat kedua dan ketiga.
Seorang mekanik Antonio Janio yang terbakar di lengan berkata rawatan kulit ikan lebih berkesan berbanding balutan kain yang kena ditukar setiap dua hari.
Kulit ikan kaya dengan kolagen jenis 1, lebih lama lembab berbanding kain balutan dan oleh itu tidak perlu kerap ditukar.
Kulit tilapia diletakkan di bahagian melecur sebelum dibalut dengan kain tanpa perlu sapuan krim berubat.
Selepas 10 hari, doktor akan membuka balutan. Kulitan ikan yang sudah kering senang ditanggalkan.