by Oh! Semput
SUDAH sampai masanya sebuah petunjuk prestasi utama atau KPI khusus bagi memerangi atau mengatasi masalah kos sara hidup dilaksanakan dalam negara kita.
Ia boleh dilaksanakan oleh semua pemimpin kerajaan sama ada yang berada di peringkat persekutuan mahupun diperingkat negeri dalam usaha membanteras isu kenaikan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat pada masa kini.
Tidak dapat dinafikan bahawa isu kos sara hidup yang sedang dialami pada masa kini tidak dapat dielakkan kesan daripada impak masalah ketidakketentuan harga minyak global serta suasana ekonomi dunia yang berada dalam keadaan tidak stabil yang turut memberi kesan terhadap ekonomi dalam negara kita.
Peningkatan kos sara hidup juga dilihat menjadi satu isu semasa semenjak pengenalan serta penguatkuasaan sistem percukaian harga barangan dan perkhidmatan baru yang telah yang telah dilaksanakan.
Akibat daripada peningkatan harga barangan serta perkhidmatan terbabit, wujud pula pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab yang turut ingin mencari jalan serta mengambil peluang untuk meningkatkan harga jualan barangan serta perkhidmatan mereka dengan cara yang tidak sepatutnya sehingga membebankan golongan penguna dalam negara kita.
Oleh yang demikian, cadangan bagi mewujudkan sebuah KPI khusus bagi memerangi serta mengatasi isu kos sara hidup dalam negara kita perlu dilihat sebagai satu usaha positif bagi mengurangkan masalah kos sara hidup yang sedang dialami oleh rakyat pada masa kini.
Perkara yang sama juga pernah dicadangkan oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beberapa tahun yang lalu dalam mendepani cabaran kos sara hidup pada masa kini.
Cadangan yang telah dikemukakan terbabit perlu dinilai dengan serius serta dilaksanakan dengan segera bagi melindungi rakyat dari masalah kenaikkan kos sara hidup.
Melalui kewujudan KPI terbabit, ia dapat menjadikan agenda mengurangkan kenaikan kos sara hidup rakyat sebagai satu agenda penting dan utama oleh semua pihak yang berkaitan dalam mengutamakan kesejahteraan hidup rakyat.
Selama ini pihak kerajaan juga telah menyarankan budaya kerja berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk – petunjuk prestasi utama (KPI) yang diterapkan dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Sejajar dengan visi, misi dan fungsi agensi, setiap organisasi perlu mengukur prestasi perkhidmatan yang diberikan bagi memastikan semua perkhidmatan berkenaan disampaikan kepada rakyat dengan baik.
Ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai tahap prestasi serta kecekapan organisasi secara keseluruhannya.
Dalam proses pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober 2009 yang lalu, YAB Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga ada menyatakan bahawa semenjak memegang teraju kerajaan, beliau akan melaksanakan sistem KPI dalam melunaskan segala urusan negara.
Pelbagai jenis petunjuk boleh dimasukkan dalam KPI khusus bagi memerangi atau mengatasi masalah kos hidup seperti yang telah dicadangkan seperti dengan memasukkan sasaran jangka pendek, serderhana, dan panjang oleh pihak – pihak yang berkaitan dalam usaha mengurangkan masalah tekanan kos hidup rakyat yang berada di kota dan yang berada di luar bandar, menilai tahap pematuhan terhadap segala undang – undang dan peraturan sedia ada bagi membendung isu golongan yang tidak bertanggungjwab yang mengambil peluang untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menipu pengguna, serta menilai tahap kepuasaan golongan pengguna secara keseluruhannya dalam negara kita dari masa ke semasa.
Pengunaan KPI khusus mengenai perkara terbabit adalah penting bagi memastikan segala sasaran yang telah ditetapkan khusus untuk mengatasi serta memerangi kos sara hidup dalam negara kita tercapai dengan jayanya.
Melalui penggunaan KPI juga, usaha atau tindakkan penambahbaikan dapat dilakukan demi menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat dalam negara dalam menghadapi suasana ekonomi yang kian mencabar pada masa kini.