by Oh! Semput

KERATAN berita bertajuk – MBI nafi beri kebenaran panjat ‘IPOH’ di BH Online, semalam.
IPOH: Tindakan sekumpulan remaja yang memanjat arca gergasi perkataan `IPOH’ disifatkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai satu pencerobohan terhadap papan tanda.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, berkata susulan itu MBI membuat laporan polis pada jam 12.45 tengah malam tadi kerana perbuatan itu boleh memberi implikasi buruk selain berbahaya kepada diri mereka sendiri dan orang awam.

DATUK Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man. – Foto Supian Ahmad
Beliau berkata, remaja berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu pada Rabu lalu dan pihak MBI hanya mengetahuinya sebaik ia menjadi viral di laman sosial.
“Kenyataan kumpulan itu yang menyatakan mendapat kelulusan MBI adalah satu penipuan.
“Saya melihat gambar itu (viral), ada yang menggantung kain buai pada binaan itu, ini membahayakan nyawa mereka sendiri selepas melakukan pencerobohan,” katanya selepas sambutan Malam Ambang Tahun Baharu 2017 malam tadi.
Beliau berkata, tindakan mereka memanjat arca setinggi lebih 20 meter itu juga dianggap sebagai vandalisme kerana kerangka itu akan rosak atau terbalik dan mengakibatkan berlaku kemalangan serius.
Zamri berkata, ia adalah kes pertama dikesan dan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk memanjat kecuali kontraktor penyelenggaraan selepas mematuhi syarat keselamatan dan mendapat kelulusan MBI.
“Kami akan memastikan mereka yang bertugas lengkap memakai tali keselamatan dan juga penggunaan jentera tertentu selain bilangan orang bertugas dihadkan.
“Sebaliknya, remaja terbabit dilihat seolah-olah menggadaikan nyawa untuk memanjat papan tanda Ipoh yang tinggi itu dan berjalan di atasnya tanpa ada sebarang tali keselamatan,” katanya.
Category: Semasa