by Oh! Semput

PEGAWAI Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim. – Foto BERNAMA
KUALA KUBU BHARU: Laporan penuh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menentukan 64 rumah yang berada dalam zon merah selamat diduduki dijangka siap minggu depan.
Laporan itu membabitkan kajian aliran air bawah tanah, pergerakan tanah, struktur forensik serta kerintangan dalam lingkungan 600 meter radius kawasan tanah runtuh.
Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim, berkata sekiranya laporan penuh itu mendapati kawasan terbabit sudah selamat diduduki, mangsa akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas kerja baik pulih jalan siap dilakukan.
Katanya, kerja baik pulih jalan dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin selepas mereka berpindah nanti.
“Kajian yang dijalankan masih lagi dalam tempoh pengumpulan data. Bagaimanapun, kami akan tunggu laporan JMG dan JKR siap sepenuhnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Laporan itu penting bagi menentukan tahap aliran air bawah tanah yang menjadi punca kejadian tanah runtuh pada Sabtu lalu serta jaraknya dari kediaman penduduk supaya dapat memastikan keempat-empat blok selamat diduduki,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sehingga jam 9 pagi tadi, seramai 152 mangsa membabitkan 34 keluarga masih menginap di pusat pemindahan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah, dengan setiap keluarga dibekalkan khemah untuk privasi serta keselesaan.
Category: Semasa