by Oh! Semput
KUANTAN: Lebih 50 tahun bermain dam namun tidak pernah terlintas di fikiran warga emas, Mohamad Jaapar Sulong suatu hari beliau akan mengalahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Lebih membanggakan, bekas anggota polis berusia 78 tahun itu bukan sahaja berjaya berentap dengan Wan Rosdy malah mencatat kemenangan dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung ketika Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar di sini semalam.
“Saya menang lawan MB, memang seronok. Selalunya saya lawan dam dengan kawan-kawan sekampung sahaja. Kali ini dapat lawan Menteri Besar Pahang pula.
“Lebih manis apabila saya menang. Kenangan ini memang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila,” katanya berseloroh ketika ditemui di sini.
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, minat terhadap permainan dam bermula sejak berusia 20-an sekadar mengisi masa lapang sebelum menjadi hobi yang kekal sehingga ke hari ini.
Katanya, dam bukan sekadar permainan sebaliknya menguji ketajaman fikiran, kesabaran dan kebolehan membaca strategi pihak lawan.
“Kita kena baca langkah dia. Bila kita tahu dia nak pergi mana, kita sekat jalan dia. Dari situ kita susun strategi untuk menang. Lebih separuh abad main dam haji tetapi saya tidak mahir bermain catur,” katanya lagi.
Bekas anggota polis yang pernah berkhidmat selama 12 tahun di Kuantan itu turut aktif dalam pelbagai sukan termasuk ping pong dan olahraga sehingga pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan lumba lari.
Walaupun usia menghampiri lapan dekad, Mohamad Jaapar masih menjadikan dam sebagai aktiviti mengisi masa lapang dan kini berkongsi minat itu bersama cucu-cucunya.
Pertemuan santai antara Wan Rosdy dan Mohamad Jaapar itu turut mencuri perhatian pengunjung apabila kedua-duanya dilihat begitu fokus mengatur buah dam.
Aksi main dam di atas para memperlihatkan sisi mesra Menteri Besar yang meluangkan masa berinteraksi dengan masyarakat melalui permainan tradisional yang semakin jarang dimainkan.
Permainan dam haji itu antara pengisian siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Kampung Belukar, DUN Inderapura, Kuantan.
Sementara itu Wan Rosdy menerusi hantarannya pula mengakui kehebatan Jaafar ketika bermain dam tersebut apabila mengakui ‘tewas’ dua kali pusingan di papan dam.
“Macam biasa, sempatlah Tokwan uji skill main dam dengan Encik Jaafar, penduduk Kampung Belukar. Ingatkan boleh bawa balik kemenangan, rupa-rupanya hari ini Tok Wan terpaksa mengaku kalah. Orang lama memang hebat, langkahnya tenang tapi penuh strategi,” katanya. #MalaysiaGazette