by Oh! Semput
RAKYAT Sarawak terutamanya masyarakat di Tanjung Datu pastinya mengenali calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, Sarawak 18 Februari ini.
Calon berkenaan ialah balu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem iaitu, Puan Sri Jamilah Anu.
Kenapa Jamilah begitu dikenali dalam kalangan rakyat di Sarawak?
Jamilah mempunyai pengalaman luas dalam kehidupan masyarakat dan beliau ialah wanita sekali gus tulang belakang yang banyak menyokong kejayaan politik Adenan.
Jadi pemilihannya sebagai calon BN bagi PRK Tanjung Datu adalah bertepatan untuk meneruskan legasi dan perancangan Adenan sebelum ini.
Apakah Jamilah akan menang besar di PRK berkenaan?
Dengan pemilihan Jamilah, akan ada dua kemungkinan iaitu sama ada beliau menang tanpa bertanding atau memperoleh kemenangan besar.
Pasti kemenangannya akan meneruskan legasi serta perancangan yang sudah dibuat Adenan sendiri pada Pilihan Raya Negeri tahun lepas
Apa perancangan Adenan di Sarawak termasuk di Tanjung Datu semasa menjadi Ketua Menteri?
Berikut antara perancangannya;
*Menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya.
*Mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri Sarawak.
*Memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak.
*Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka.
*Melindungi dan memulihara alam semulajadi.
*Mempertingkatkan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik.
*Menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
*Mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.
*Meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
*Meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sosio-ekonomi.
*Mengiktiraf dan membangunkan potensi belia demi masa depan.
*Memajukan pendidikan dan latihan teknikal.
*Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak.
*Membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelaburan dan keusahawanan.
*Industrialisasikan negeri melalui sektor pembuatan, pelancongan dan transformasi luar bandar.
Sebagai balu kepada Adenan, Jamilah tentunya mengetahui perancangan arwah suaminya dan pasti beliau akan meneruskan perancangan suaminya itu demi rakyat di negeri Sarawak.
Adakah menjadi kesalahan untuk BN memilih isteri kepada bekas wakil rakyat untuk menjadi calon?
Ini bukan kali pertama BN meletakkan balu penyandang sebagai calon.
Pada bulan Mei 2016, Mastura Mohd. Yazid bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar, selepas suaminya Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad terbunuh dalam kemalangan helikopter semasa berkempen dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.
Dengan membawa aura dan nama baik suaminya terdahulu, maka Mastura telah berjaya menang besar pada PRK tersebut selepas menewaskan tiga pencabar lain dari PAS, PAN dan bebas.
Tanpa diduga, Mastura yang ketika itu masih di dalam tempoh edah memperolehi 12,653 undi menewaskan calon PAS, Dr. Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684 undi, calon PAN, Dr. Ahmad Termizi Ramli (4,883) dan calon bebas, Izzat Bukhari Ismail Bukhari (54).
Pada 18 Februari ini, Jamilah pula bakal mengikut corak rentak Mastura.
Adakah Jamilah akan memperoleh kemenangan bergaya dengan majoriti lebih besar berbanding majoriti 5,892 undi yang diperoleh Allahyarham suaminya pada PRN lalu?
Pasti ia bukan mustahil.
Keistimewaan dan persamaan yang dimiliki oleh kedua-dua balu ini adalah aura arwah suami masing-masing.
Jika di Kuala Kangsar, siapa tidak kenal Wan Mohammad Khairil Anuar yang cukup rapat dengan masyarakat.
Begitu juga tidak kurang hebatnya di Tanjung Datu. Mustahil sekali masyarakat di kawasan berkenaan tidak berterima kasih kepada bekas ADUN merangkap bekas Ketua Menteri Sarawak yang amat mereka kasihi itu.
Sehinggakan ke peringkat penyanyi kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah pun sanggup mengadaptasikan nyanyian lagu ‘Lelaki Teragung’ pada Anugerah Juara Lagu 2017 demi untuk pemimpin negeri bernama Adenan Satem itu, apatah lagi masyarakat di kawasannya sendiri.
Pemilihan Jamilah wajar dijadikan sebagai timbal balik ucapan terima kasih ke atas Adenan yang terlalu banyak berjasa bukan sahaja di DUN Tanjung Datu, malah keseluruhan rakyat Sarawak.
Adenan bertahan di DUN Tanjung Datu selama lebih 9 tahun. Pertama kali beliau memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri ke-9 Mei 2006 dan kali ini tiba masa untuk isterinya pula berbakti kepada rakyat di situ.