by Oh! Semput
DUA gol Jamie Vardy membantu Leicester City memperoleh kemenangan 3-1 ke atas Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Selasa.
Bertempat di Stadium King Power di Leicester, England, Vardy menjaringkan gol pada minit ke-28 dan 60′.
Aksi cemerlang Vardy pada minit ke-28 itu juga sekali gus menyaksikan gol sulung buat Leicester pada tahun ini.
Susulan gol Vardy, Leicester dilihat semakin bersemangat dan hasilnya, Danny Drinkwater menambah jaringan pada minit ke-39.
Pada minit ke-67, pemain Liverpool, Philippe Coutinho cuba untuk memperkecilkan kedudukan dengan menjaringkan gol.
Bagaimanapun, sehingga ke akhir permainan, tiada tambahan jaringan yang berjaya diraih Liverpool.
Penyerang Leicester City, Jamie Vardy menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, adalah tindak balas terhadap laporan negatif pihak media susulan pemecatan pengurus, Claudio Ranieri.
Ranieri dipecat Khamis lalu, kurang 10 bulan selepas Leicester menamatkan kisah dongeng mereka dengan menjuarai trofi liga musim lalu, selepas mengalami lima kekalahan berturut-turut sehingga menyaksikan kelab itu berada di zon penyingkiran.
Ranieri dikatakan hilang kepercayaan barisan pemain Leicester tetapi Vardy yang meledak dua gol berkata kritikan itu tidak adil buat mereka.
“Kami menerima kritikan yang tidak adil daripada pihak media tetapi kamu sendiri boleh lihat pemain mahu memberikan reaksi terhadap perkara itu.
“Prestasi pemain membuktikan segala-galanya dan kami mahu melakukannya secara konsisten. Saya tidak boleh menuding jari mengatakan mengapa kami tidak boleh lakukannya selalu.
“Kami sudah bekerja keras cuma ia tidak menjadi,” kata Vardy sejurus tamat perlawanan.
“Jika kami bermain dengan baik dan tewas, saya boleh menerimanya,” kata Klopp kepada Sky Sports.
“Kami gagal bermain dengan baik. Ia seperti kami tidak pernah bercakap mengenai kekuatan Leicester.
“Saya telah bercakap mengenai ancaman yang mampu diberikan oleh pasukan lawan di dalam bilik persalinan, namun ia tidak memadai buat pemain-pemain saya.
“Kami perlu bekerja keras, cuba untuk menampilkan permainan yang lebih baik pad perlawanan akan datang.
“Kurang bagus dalam semua aspek, menyerang dan bertahan, itu adalah cara tewas perlawanan ini.”
Terdahulu, Liverpool ditundukkan oleh Hull City, Swansea dan Bournemouth.
Liverpool kini berada pada kedudukan kelima liga, di belakang Arsenal, Manchester City, Totthenham dan Chelsea.