by Oh! Semput
SEBUAH kamera litar tertutup (CCTV) di West 48th Street, Manhattan merakam aksi seorang pencuri mencuri satu baldi emas seberat 39 kilogram dari sebuah trak berperisai.
Menurut sebuah laman antarabangsa, difahamkan salah seorang pengawal keluar dari trak itu untuk mengambil barang manakala seorang lagi pengawal ke tempat duduk hadapan untuk mengambil telefon bimbitnya meninggalkan trak berkenaan tanpa pengawasan selama 20 saat.


Peluang emas itu telah digunakan oleh seorang lelaki untuk mencuri satu baldi mengandungi kepingan emas bernilai $1.6 juta (RM 7 juta) dari trak tersebut.
Menerusi rakaman video kejadian, pencuri itu dilihat melarikan diri sebelum berhenti seketika untuk mengambil nafas. Dia kemudian berjalan lagi beberapa langkah sebelum berhenti rehat sekali lagi.
Jarak yang sepatutnya mengambil masa 10 minit berjalan terpaksa diharungi selama satu jam kerana baldi yang berat itu.
Di akhir video itu, dia dilihat memasuki sebuah van di 48th Street and Third Avenue.
Pihak polis masih menjalankan siasatan dan percaya suspek sedang bersembunyi di Orlando atau Miami bersama kepingan emas itu. – MYNEWSHUB.CC