by Oh! Semput
Cubaan seorang lelaki etnik Rohingya melarikan diri selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak berhasil apabila dia berjaya ditahan oleh orang awam dalam kejadian di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, pada Khamis.
Insiden itu menjadi perhatian selepas rakaman video yang memaparkan beberapa individu mengejar dan menahan lelaki terbabit tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang itu melibatkan dua buah motosikal, iaitu motosikal yang ditunggang lelaki etnik Rohingya berkenaan dan sebuah lagi motosikal dinaiki seorang wanita tempatan bersama anak lelakinya.
Menurut beliau, penunggang motosikal terbabit dipercayai datang dari arah Padang Jawa sebelum membelok ke kanan untuk memasuki sebuah pusat komersial. Ketika itu, sebuah motosikal dari arah bertentangan melanggar bahagian kiri motosikal berkenaan sehingga mengakibatkan kemalangan.
“Akibat kejadian itu, penunggang wanita mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan dan bahu serta menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam.
“Anak lelakinya yang membonceng turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dimasukkan ke wad Hospital Shah Alam untuk pemantauan sebelum dibenarkan pulang pada Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.
Pihak polis pada masa sama mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak meninggalkan lokasi kemalangan, sebaliknya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memudahkan proses siasatan serta melindungi keselamatan semua pihak.
Lelaki Rohingya Cuba Lari Selepas Terlibat Kemalangan first appeared on #1 The News Malaysia.