by Oh! Semput

TAWAU: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang dilarikan dari rumahnya di Kampung Rawa-Rawa, Batu 4 Jalan Apas, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata kedua-dua suspek berusia 37 dan 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak jauh dari rumah mangsa kira-kira 9.30 malam.
“Beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Sebelum ini berita kehilangan bayi perempuan berumur lapan bulan yang dilarikan oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumah mereka pada jam 6.15 pagi.
Bagaimanapun, bayi itu berjaya ditemui semula di bahagian belakang sebuah kedai kosong di Batu 24, Jalan Apas, kira-kira jam 8 malam pada hari yang sama.
Mengulas lanjut, beliau berkata motif kejadian dipercayai berpunca daripada bapa mangsa telah memperkenalkan pembeli syabu dari Indonesia kepada dua suspek berkenaan.
“Bagaimanapun, pembeli itu dikatakan gagal membayar selain gagal dikesan.
Keadaan itu menyebabkan suspek berjumpa ibu mangsa untuk menuntut wang ganti rugi sebelum berlakunya penculikan itu,” katanya.
Difahamkan, bapa bayi itu yang kini dipenjara di Indonesia kerana kesalahan dadah telah meminta ahli keluarganya di Indonesia membuat transaksi sebanyak Rp100 juta (RM33,332.58) ke dalam akaun Bank Negara Indonesia (BNI) atas nama seorang lelaki dikenali sebagai Syamsul sebagai pembayaran hutang dadah, tengah hari semalam.
Mengenai keadaan bayi itu, Fadil berkata, mangsa sudah dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.