by Oh! Semput

KOTA KINABALU 4 Dis. – Pasangan suami isteri yang panik sebaik sahaja menyedari anak lelakinya hilang ketika mereka berjalan di tebing Sungai Sembulan, tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila mayat anak mereka ditemukan lemas berhampiran jambatan sebuah pusat beli-belah di sini kelmarin.
Mayat Sefdeisen Seplin, 12, ditemui pada pukul 2.40 petang, kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh pada pukul 12 tengah hari ini oleh pasukan penyelamat.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Kamarudin Sabanah berkata, berdasarkan maklumat awal, pasangan suami isteri itu bersama dua anak mereka masing-masing berusia 12 dan tujuh tahun pergi memukat ikan di sungai berkenaan.
Katanya, kehilangan Sefdeisen disedari ibunya apabila kanak-kanak itu tiada bersama ketika mereka berjalan di tebing sungai tersebut.
“Panik dengan perkara itu, mereka segera meminta bantuan orang ramai sebelum membuat panggilan kecemasan pukul 1.41 petang,” katanya kepada di sini hari ini.
Tambah Kamarudin, enam pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan itu.
Katanya, selepas hampir sejam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, mangsa ditemukan pada kedalaman tiga meter di bawah jambatan iaitu kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Seplin Lais, 47, tidak dapat menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan oleh pasukan penyelamat serta orang awam sebaik sahaja mengetahui mayat anaknya ditemukan.