Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang Laksanakan Intervensi Tomato Bantu Pekebun Di Tanah Tinggi Lojing

by Oh! Semput


8
SHARES
103
VIEWS
Posted on 10 Apr 2026 23:32:18

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang melaksanakan intervensi sayuran terpilih bagi membantu pekebun di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang yang berdepan masalah lambakan hasil ketika ini.

FAMA Pahang memaklumkan, intervensi melalui Pusat Operasi FAMA Cameron Highlands itu melibatkan komoditi tomato dengan enam tan metrik setakat ini.

Menurutnya, langkah itu bagi membantu petani termasuk menyerap lebihan hasil pertanian, mengelakkan lambakan dan pelupusan hasil serta menstabilkan pasaran dan harga.

"Belian tomato ini akan dipasarkan di pusat-pusat operasi FAMA dan jualan terus di program-program anjuran agensi ini seperti Jualan Agro MADANI di seluruh negara," katanya.

Masalah lambakan sayuran yang dilaporkan berlaku di Tanah Tinggi Lojing sehingga menjejaskan kira-kira 500 pekebun itu didakwa kesan lambakan bekalan sayur import dari luar negara.

Memburukkan keadaan, krisis tenaga global kesan konflik di Asia Barat dengan kenaikan harga diesel yang mendadak mendorong kepada peningkatan kos penanaman.

Media sebelum ini melaporkan pekebun di Tanah Tinggi Lojing itu terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual.

Sementara itu, FAMA Pahang berkata, pembelian sayuran khususnya tomato dari pekebun di Cameron Highlands berjalan seperti biasa.

Sesi lawatan kebun dan pemantauan bekalan komoditi tomato turut diadakan melibatkan pengusaha tempatan.

"Pihak FAMA turun padang bertemu pemain industri sayuran di Cameron Highlands.

"Melalui sesi libat urus yang diadakan sebelum ini, pelbagai isu semasa dibincangkan termasuk kejatuhan harga sayur-sayuran, khususnya tomato yang kini mencecah serendah RM0.60 sekilogram berpunca daripada lebihan bekalan, penurunan permintaan domestik dan eksport serta tekanan kos operasi yang semakin meningkat.

"Langkah ini dilaksanakan melalui Pusat Operasi FAMA Cameron Highlands sebagai usaha memastikan hasil petani terus dipasarkan dan tidak terjejas.

"FAMA akan terus memainkan peranan aktif sebagai penghubung antara pengeluar dan pengguna demi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil, mencukupi dan berterusan," katanya. #SinarHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts