Mahkamah Tinggi Benar Permohonan Supaya Lima Isu Awal Diselesai Sebelum Pendengaran Perbicaraan Saman Sivil Yusoff Rawther

by Oh! Semput


5
SHARES
61
VIEWS
Posted on 30 Sep 2026 13:30:21

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini, membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya lima isu awal diselesaikan terlebih dahulu sebelum pendengaran perbicaraan saman sivil yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Kes saman berkenaan membabitkan dakwaan insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, memerintahkan lima isu berkenaan ditentukan melalui perbicaraan berdasarkan keterangan secara lisan (viva voce), dengan kedua-dua pihak bebas memanggil saksi yang dianggap perlu.

Ketika membacakan penghakiman, beliau berkata, isu yang dikemukakan Anwar sesuai ditentukan sebagai isu awal di bawah Aturan 33 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah.

Beliau berkata, lima isu itu membabitkan kronologi peristiwa pada 2 Oktober 2018.

Antaranya, sama ada Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad mengarahkan Muhammed Yusoff menyerahkan sendiri teks ucapan ke kediaman Anwar di Segambut.

Isu kedua ialah sama ada Muhammed Yusoff menaiki kenderaan bersama pengawal keselamatan Anwar, Norafee Ahmad, dari pejabat Anwar kira-kira jam 2.15 petang sebelum tiba di kediaman berkenaan sekitar jam 3 petang pada tarikh sama.

Mahkamah turut akan menentukan sama ada Muhammed Yusoff bertemu dengan Anwar di kediaman terbabit pada 2 Oktober 2018.

Raja Ahmad Mohzan berkata, sekiranya mahkamah mendapati Muhammed Yusoff tidak bertemu Anwar pada hari berkenaan, isu seterusnya ialah sama ada peristiwa yang didakwa termasuk serangan seksual dan atau pencerobohan terhadapnya boleh berlaku.

Isu kelima pula ialah sama ada writ dan pernyataan tuntutan yang difailkan Muhammed Yusoff boleh dipertahankan dari segi undang-undang dan fakta sekiranya mahkamah mendapati beliau tidak bertemu Anwar pada hari berkenaan.

Raja Ahmad Mohzanuddin berkata, Muhammed Yusoff selaku plaintif perlu terlebih dahulu hadir di kediaman Anwar selaku defendan di Segambut pada 2 Oktober 2018 sebelum dakwaan serangan seksual dan atau pencerobohan terhadapnya boleh berlaku di bilik bacaan.

"Sekiranya isu-isu awal dijawab memihak kepada defendan, tuntutan plaintif akan berakhir.

"Sebaliknya, jika ia dijawab memihak kepada plaintif, dapatan tersebut akan menjadi dapatan muktamad dan perbicaraan seterusnya akan dihadkan kepada dakwaan serangan seksual dan atau pencerobohan terhadap plaintif," katanya.

Beliau turut memerintahkan perbicaraan isu awal berkenaan dijalankan melalui platform Zoom dan kekal terbuka kepada awam, termasuk pengamal media.

"Dalam kata lain, perbicaraan isu-isu awal tidak boleh didengar secara tertutup," katanya.

Mahkamah turut menggantung semua prosiding lanjut dalam saman sivil berkenaan sementara menunggu penentuan isu awal terbabit.

Raja Ahmad Mohzanuddin turut memerintahkan Kos permohonan pula diperintahkan menjadi kos dalam kausa tindakan berkenaan.

Beliau yang akan berpindah ke Mahkamah Tinggi Ipoh turut menetapkan pengurusan kes pada 5 November ini di hadapan hakim baharu.

Peguam, Christopher Leong mewakili Anwar, manakala Muhammed Yusoff diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Sebelum ini, Anwar memohon supaya beberapa isu awal berkaitan pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di kediaman peribadinya pada 2 Oktober 2018 ditentukan terlebih dahulu sebelum perbicaraan saman sivil bermula.

Anwar turut memohon supaya isu berkenaan ditentukan sama ada melalui keterangan afidavit atau prosiding tertutup tanpa kehadiran media.

Menurutnya, penentuan isu berkenaan berpotensi menyelesaikan keseluruhan saman tanpa memerlukan perbicaraan penuh.

Dalam saman itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, berserta faedah serta kos atas dakwaan beliau diserang oleh Anwar di kediamannya hampir lapan tahun lalu. #BeritaHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts