by Oh! Semput
Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak mengambil berat mengenai perancangan masa depan atau tidak menghargai jasa jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.
MSN menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab, sambil menegaskan sokongan terhadap Azizulhasni kekal teguh, termasuk sekiranya beliau mahu meneruskan karier sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menurut MSN, segala permintaan yang dikemukakan Azizulhasni ketika pertemuan pada 13 Ogos lalu telah dipersetujui bagi memastikan persiapan beliau ke Olimpik 2028 berjalan lancar.
Pendirian itu turut disampaikan menerusi beberapa siri pertemuan antara Azizulhasni dengan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin serta pegawai kanan badan berkenaan sebelum dan selepas Sukan Komanwel Glasgow.
MSN berkata perbincangan mengenai laluan ke Olimpik 2028 turut dilakukan bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 7 Julai lalu menerusi perbincangan Olympic Pathway.
Perbincangan itu membabitkan pelumba kebangsaan, termasuk keperluan Azizulhasni untuk mengumpulkan mata kelayakan seperti yang dinyatakan olehnya.
“Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, selaku Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN juga bertanyakan kepada Azizulhasni mengenai persiapan dan perancangannya ketika sambutan kepulangan Kontinjen Malaysia daripada Sukan Komanwel dan sentiasa mengambil tahu perkembangan membabitkan beliau,” menurut kenyataan MSN hari ini.
Dalam pertemuan pada 13 Ogos, Azizulhasni memaklumkan bahawa beliau sudah mula merancang untuk Olimpik 2028, namun belum memuktamadkan perancangan tersebut.
Antara keperluan yang dikemukakannya ialah tambahan sokongan sains sukan dan perubatan, penggunaan fasiliti MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) serta pelaksanaan program latihan secara hibrid antara Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.
MSN berkata pihaknya bersetuju terhadap semua permohonan tersebut termasuk beberapa permintaan tambahan.
“MSN dalam pertemuan itu menyatakan persetujuan terhadap semua permohonan itu, termasuk beberapa lagi permintaan tambahan.
“Paling utama, pertemuan itu memperteguhkan lagi sokongan kepada Azizulhasni dan cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti amalan sebelumnya,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, MSN turut bersetuju menanggung penyertaan Azizulhasni dalam kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia secara berpasukan.
Taufiq juga membawa perkara berkaitan keperluan serta perancangan sokongan berkenaan ke mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos lalu untuk mendapatkan persetujuan semua ahli lembaga.
Susulan itu, MSN menghantar emel kepada Azizulhasni pada 27 Ogos bagi memuktamadkan perbincangan tersebut.
Azizulhasni diminta mengemukakan pelan lengkap program serta anggaran perbelanjaan supaya peruntukan bagi kempen kelayakan Olimpik 2028 dapat disediakan.
Pelan tersebut merangkumi latihan dan pertandingan sehingga Los Angeles 2028, sasaran prestasi, laluan kelayakan Olimpik, pembahagian fasa latihan antara Kuala Lumpur dan Melbourne, keperluan jurulatih dan pasukan sokongan, sains sukan dan perubatan, fasiliti, peralatan, logistik serta anggaran perbelanjaan bagi setiap tahun program.
MSN turut menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan jurulatih Azizulhasni, John Beasley, yang sebelum ini mendakwa tiada perbincangan mengenai perancangan masa depan pelumba berusia 38 tahun itu.
Menurut MSN, Azizulhasni sendiri bersetuju supaya pengumuman mengenai program latihannya menuju Olimpik 2028 dibuat secara bersama selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai pada 14 hingga 18 Oktober depan.
Pendirian tersebut dihormati bagi memastikan fokus Azizulhasni tidak terganggu menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September ini.
Bagaimanapun, susulan laporan media mengenai isu tersebut, MSN tampil menjelaskan perkara sebenar.
Semalam, Azizulhasni tampil memberikan penjelasan sepanjang sembilan muka surat bagi memperincikan pelbagai perkara berkaitan sukan berbasikal serta misi kelayakan Malaysia ke Sukan Olimpik LA28.
Dalam penjelasan yang dikongsikan menerusi media sosial itu, Azizulhasni menegaskan segala perkara yang didedahkan adalah berdasarkan fakta dan bukan auta.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Majlis Sukan Negara Bidas Datuk Azizulhasni Awang, Sifatkan Atlet Berbasikal Itu Tidak Bertanggungjawab first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.