by Oh! Semput
Gerik : Bilangan pesakit wabak malaria di perkampungan Orang Asli di Pos Kemar, Gerik, meningkat tiga kes lagi hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 93 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kes terbaru itu membabitkan dua kes di Kampung Bal dan satu kes di Kampung Badak.
Katanya, Kampung Bal dan Kampung Badak adalah kawasan terbaru dikesan wabak itu, menjadikan 10 kampung terbabit berbanding lapan kampung sebelum ini.
“Kampung Senangit kekal menjadi kampung mencatat jumlah tertinggi iaitu 67 kes malaria,” katanya pada sidang media selepas melawat pesakit di Hospital Gerik (HG) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie.
Dr Mah berkata, 57 pesakit menerima rawatan di HG manakala 12 lagi di Hospital Kuala Kangsar (HKK), dua pesakit menerima rawatan di lapangan dan enam kes dalam proses keluar dari hospital.
“Sebanyak 37 kes membabitkan kanak-kanak iaitu 17 lelaki dan 20 perempuan, dirawat di HG.
“Mereka yang dijangkiti dan sedang dirawat di hospital adalah berusia antara lapan bulan hingga 60 tahun dengan majoriti remaja dan berusia 20-an,” katanya.
Category: Semasa