by Oh! Semput

IPOH: Seramai 129 penduduk Orang Asli di Pos Kemar, dekat Gerik disahkan positif wabak malaria ‘Plasmodium vivax (P vivax) dalam tempoh kira-kira sebulan sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata peningkatan hanya tiga kes direkodkan minggu ini menunjukkan wabak itu semakin terkawal di penempatan itu.
Katanya, jumlah pesakit ialah 47 orang iaitu 16 masih menerima rawatan di Hospital Gerik (HG) manakala 27 lagi dipindahkan ke Asrama Sri Didik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II, Gerik untuk rawatan susulan.
“Daripada keseluruhan kes, tiga daripada mereka enggan keluar dari penempatan itu namun dirawat di Pos Kemar dengan pemantauan Klinik Kesihatan Pos Kemar.
“Satu kes membabitkan pesakit di kawasan berhampiran penempatan berkenaan sedang dipastikan sama ada dia turut dijangkiti malaria,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tujuh pesakit katarak yang menerima rawatan percuma di Hospital Pantai di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr Mah berkata, usaha Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mencegah wabak denggi menunjukkan perkembangan positif berikutan jumlah yang direkodkan tahun ini bagi tempoh Januari hingga Sabtu lalu menurun 61 peratus kepada 3,549 kes berbanding 9,069 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah kematian membabitkan wabak denggi turut menurun daripada 24 kepada 10 kes dalam tempoh sama,” katanya.
Category: Semasa