by Oh! Semput
Malaysia dijangka berdepan satu lagi gelombang kemasukan pelarian Rohingya melalui laluan laut menjelang September ini apabila perubahan musim angin monsun memudahkan perjalanan bot ke rantau Asia Tenggara.
Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, situasi tersebut bukanlah perkara baharu kerana pola sama telah berlaku secara berulang sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pihak berkuasa dan masyarakat tidak seharusnya memandang ringan perkara itu memandangkan kemasukan etnik Rohingya lazimnya meningkat apabila keadaan cuaca serta laut lebih sesuai untuk perjalanan.
“Kalau ikut pola yang berlaku sebelum ini, mereka memang akan belayar ke Asia Tenggara sekitar September kerana ketika itu angin monsun membantu perjalanan mereka.”
“Tunggu sahaja September nanti, kita boleh lihat sendiri berapa banyak bot atau kapal yang cuba memasuki perairan negara,” katanya dalam satu audio siar baru-baru ini.
Salawati berkata, isu pelarian Rohingya sering mendapat perhatian orang ramai apabila berlaku insiden melibatkan bot pelarian, namun kembali tenggelam selepas itu tanpa penyelesaian jangka panjang.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengabaikan nasib etnik berkenaan, sebaliknya pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan telah disalurkan oleh pelbagai pihak.
“Kita membantu orang Rohingya ini, jangan cakap Malaysia tidak bantu. Isu ini sudah lama dan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan serta pertubuhan kemanusiaan terlibat dalam usaha membantu mereka,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta agensi penguatkuasaan lain hanya menjalankan tugas berdasarkan bidang kuasa dan arahan yang ditetapkan kerajaan.
Menurut Salawati, isu pelarian Rohingya perlu ditangani secara lebih menyeluruh di peringkat serantau kerana Malaysia sering menjadi antara destinasi utama kumpulan tersebut.
Kerjasama antara negara di rantau ini dilihat penting bagi mencari penyelesaian jangka panjang, selain memastikan isu kemanusiaan dan keselamatan sempadan dapat ditangani secara seimbang. – KOSMO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Malaysia Dijangka Berdepan Kemasukan Pelarian Rohingya Melalui Laut Menjelang September first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.