by Oh! Semput
HUBUNGAN Malaysia – Arab Saudi bukan baharu tetapi sudah berlangsung lebih 60 tahun yang lalu.
Pada zaman kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini, hubungan dua hala antara kedua-dua negara dilihat semakin akrab.
Ianya terbukti sempena lawatan pemimpin tertinggi negara Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud ke negara ini bermula 26 Februari 2017.
Ini bukan sahaja lawatan kali pertama Raja Salman ke Malaysia bahkan ke rantau Asia Tenggara setelah dilantik sebagai Raja Arab Saudi ke-7 pada 23 Januari 2015.
Apakah manfaat lawatan Raja Salman ke Malaysia?
Lawatan Raja Salman ke Malaysia menggambarkan tahap keakraban hubungan dua hala sekali gus pengiktirafan salah sebuah negara besar dunia terhadap kepimpinan negara.
Pemilihan Malaysia sebagai destinasi lawatan kerja rasmi Raja Salman ke rantau Asia Tenggara menggambarkan harapan tinggi negara Islam dari rantau Timur Tengah terhadap Malaysia.
Raja Salman sebelum ini sentiasa memuji Malaysia sebagai negara Islam contoh dari segi pembangunan ekonomi, pendidikan sehinggalah kepada pengurusan jemaah haji setiap tahun.
Sudah pasti lawatan ini mempunyai agenda besar dari kedua-dua sudut, politik dan ekonomi.
Untuk rekod, kali terakhir Raja Arab Saudi yang digelar sebagai ‘Penjaga Dua Tanah Suci’ itu melawat Malaysia adalah pada Januari 2006 iaitu ketika pemerintahan Raja Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud.
Sebelum itu pada 1970, Raja Faizal turut mengadakan lawatan pada zaman Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri.
Pada tahun 2016, nilai dagangan dua hala Arab Saudi dan Malaysia meningkat mendadak sebanyak 20 peratus dengan nilai dagangan berjumlah RM13.12 bilion menjadikan Arab Saudi antara negara dagangan terbesar buat Malaysia.
Dari segi hubungan ekonomi dua negara ini terutamanya hubungan dagang mencecah AS$3.3 bilion pada tahun 2016 dengan imbangan yang negatif di mana Malaysia mengeksport kurang daripada AS$1 bilion.
Pastinya, Arab Saudi adalah rakan dagang kedua tertinggi Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat selepas UAE.
Jumlah dagangan antara dua negara dalam lima tahun kebelakangan ini adalah sekitar AS$3–AS$4 bilion setahun dengan jumlah dagangan tertinggi dicatatkan pada 2011.
Ia banyak bergantung kepada import produk minyak dari Arab Saudi dan ia sangat dipengaruhi kenaikan harga minyak semasa serta kestabilan ringgit.
Pelbagai bentuk sokongan dan bantuan yang diberikan kepada Malaysia tidak kira dari segi ekonomi, kewangan sehinggalah hal-hal berkaitan dengan pengurusan haji setiap tahun.
Adakah ini belum cukup menggambarkan hubungan istimewa antara Arab Saudi dan Malaysia?
Baru-baru ini Arab Saudi bersetuju mengembalikan kuota haji berjumlah 27,900 untuk tahun 2017 berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya yang hanya berjumlah 22,230.
Mudah-mudahan ada berita baik yang bakal diumumkan Raja Arab Saudi sempena lawatan istimewa kali ini.
Matlamat Raja Salman adalah untuk memajukan Arab Saudi dan menjadikan negara itu sebagai sebuah negara yang menghubungkan tiga benua, kuasa baharu pelaburan dan menjadi teladan kepada negara Arab dan dunia Islam lain.
Ini dinyatakan dalam wawasan 2030 yang menjadi teras pembangunan negara Arab Saudi di bawah pimpinan Raja Salman.
Kesungguhan Malaysia untuk mengambil manfaat daripada perkembangan terkini strategi pembangunan ekonomi Arab Saudi jelas dapat dilihat dengan penglibatan pemimpin negara menyertai forum-forum ekonomi yang diadakan di Arab Saudi.
Sesungguhnya keberangkatan Raja Salman ke Malaysia akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara negara yang sedia terjalin sejak sekian lama.
Hubungan ini sudah tentulah ada keistimewaannya tersendiri apatah lagi melibatkan dua negara Islam, harapan umat yang pastinya berpaut atas asas iman dan persaudaraan Islam.
Diharapkan, lawatan Raja Salman ke Malaysia bakal membuka lembaran baharu kepada persahabatan yang lebih tuntas, lestari dan berkesinambungan antara kedua-dua belah negara.
Apa yang lebih penting dan utama, hubungan Malaysia-Arab Saudi akan terus mengukuhkan persaudaraan dalam Islam demi memastikan agama Islam dikembangkan dari semasa ke semasa, seterusnya menjadikan Islam terus dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.
Baca lagi: Saudi Arabia and Malaysia Set to Strengthen Friendship